Pages

Tuesday, April 22, 2008

Check Up - Bulan ke 4

Pada malam 18hb April 2008 yang lepas, saya telah ke Klinik untuk pemeriksaan bulanan bagi kehamilan saya. Ketika ini, kandungan saya telah berusia hampir 15 minggu. Pemeriksaan dijalankan seperti biasa. Bermula dengan ukuran berat dan ujian urine. Seterusnya pemeriksaan tekanan darah. Kali ini doktor periksa kedudukan bayi, memeriksa bahagian rahim dengan menekan perut dari luar. Alhamdulillah segalanya normal.

Tetapi, pada tahap ini, saya mengalami beberapa masalah. Saya sentiasa merasa keras dibahagian bawah rahim. Dan keputihan saya juga tidak normal. Ia keluar seperti yoguart dan berwarna hijau muda epal. Serta terdapat ketulan kecil di bahagian pintu masuk. Perkara ini saya ajukan kepada doktor. Doktor membuat ujian urine secara terperinci. Di dapati urine saya terdapat kuman. Dan juga berlaku infection. Perkara ini agak membimbangkan.

Bagi membunuh kuman yang terdapat di dalam urine, doktor telah memberikan saya ubat antibiotik. Juga diberikan ubat minum bagi melawaskan kencing. Semua ubat ini perlu dihabiskan. Berdasarkan penjelasannya, pundi kencing menjadi semakin sempit akibat rahim yang semakin membesar. Kedudukan rahim yang begitu hampir dengan pundi kencing ini membahayakan janin sekiranya urine mengandungi kuman. Bimbang ia akan menjangkiti kawasan rahim. Dan ini boleh menyebabkan keguguran.

Bagi masalah keputihan, doktor memberikan laktacid sebagai bahan pencuci. Usia bayi yang masih kecil menghalang untuk doktor memberikan ubat lain. Doktor juga mencadangkan penggunaan panty liner dengan penukaran yang kerap.

Menurut doktor, masalah ini sering berlaku kepada ibu hamil. Pencegahan awal perlu bagi memastikan ia tidak memberikan kesan buruk kepada bayi yang dikandungkan.

Ya Allah, Engkau bantulah aku dalam melindungi bayi yang sedang aku kandungkan ini.....

Friday, April 18, 2008

Rahim


Seperti biasa tepat jam 5.30 ptg, saya cepat-cepat berkemas untuk pulang ke rumah selepas hampir seharian dipejabat. Rutin harian untuk pulang, masuk sahaja kereta radio akan dipasang. Sejak bergelar ibu hamil ni, rangkaian IKIM menjadi pilihan. Topik yang dibincangkan pada petang itu amat menarik. Perbincangan berkenaan ibu hamil. Walaubagaimanapun, saya tak sempat mendengar siapa ustazah jemputan tersebut.

Apa yang sempat saya dengar adalah berkenaan cara melahirkan anak. Dan bagaimana Allah melindungi Khalifah kecil ini sejak dari kandungan. Allah telah sediakan satu ruang yang sempurna ciptaannya bagi menempatkan insan baru ini. Allah melindunginya dengan 6 lapis kulit perut ibunya dan 1 lapis rahim. Oleh itu, ustazah tersebut menyeru ibu-ibu dan bakal ibu agar terlebih dahulu cuba untuk bersalin normal. Jangan dipotong lapisan yang melindungi bayi tersebut. Kerana melalui pembedahan, 6 lapis kulit perut akan dipotong dan termasuk 1 lapis rahim. Ini akan menyebabkan kawasan perlindungan bayi akan terjejas. Tetapi, sekiranya ia menjadi keperluan, maka teruskanlah.

Selain itu, tempat duduknya bayi ini semasa kandungan selama 9 bulan juga digelar RAHIM. Tanpa kita sedari (terutama saya), RAHIM ini juga telah membawa maksud kasih sayang. Betapa Allah menunjukkan perasaan yang perlu kita tunjukkan kepada insan baru ini sehinggakan tempat tinggalnya juga digelar RAHIM. Secara tidak langsung juga ia menunjukkan hubungan yang akan dan perlu wujud antara Ibu dan anak.

Ya Allah... betapa indah dan teliti setiap ciptaan Mu. Setiap kewujudannya mempunyai hikmah yang tersendiri.

Monday, April 14, 2008

Akhlak Isteri terhadap suami ketika hamil

- menunjukkan sifat kasih sayang terhadap suami
- menjaga lidahnya dari menyebut perkataan kesat dan keji.
- Taat kepada segala perintah suami selagi ia tidak melanggar hokum Allah.
- jangan cerewet dan menimbulkan masalah dalam rumahtangga.
- hormatilah hak dan kelebihan suami juga keluarganya.
- apabila suami dalam keadaan marah maka diamkanlah diri semoga ini dapat melembutkan hati suami.
- berterus teranglah pada suami apabila timbul sesuatu masalah dan jangan was-was terhadap suami.
- jangan merendah-rendahkan suami d hadapan orang lain.
- jangan berlebihan dalam berbelanja dan hendaklah selalu bersyukur dengan apa yang ada.
- jauhilah dari mencungkil rahsia-rahsia suami yang tidak dia sukai dan Janganlah sengaja mencari-cari kesilapan suami.
- jauhilah dari perasaan mencintai orang lain lebih dari suami sendiri.


Sumber: perjalanansuci.com

Akhlak Suami kepada Isteri yang hamil

Sebagai suami pula, kita mestilah mempunyai akhlak yang baik dan memperlakukan isteri dengan baik tambahan pula di sedang hamil. Suami tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab. Di antara perkara-perkara yang perlu dipenuhi oleh suami ialah:

- sentiasa bersikap kasih sayang terhadap isteri.
- sentiasa bersikap jujur dan tidak berlaku kejam terhadapnya.
- jauhilah daripada kata-kata yang boleh menyinggung perasaanya walaupun dalam
- keadaan marah, banyak beristighfar, berselawat dan ambil wuduk dan cuba
- mengingati keadaan manis dan jasa isteri.
- Janganlah kerap mengeluarkan perkataan Talaq kerana ini dapat mengganggu perasaanya dan juga kandunganya.
- jauhilah daripada merendahkan isteri di depan orang ramai.
- hargailah dan berikanlah pujian dia atas segala pemberian dan perbuatan isteri.
- bantulah isteri dalam kerja-kerja rumah.
- cuba fahami keadaan dan masalah isteri dengan mengambil berat tentang perasaan dan kesihatannya.
- berilah semangat dan perangsang kepada si isteri dalam melakukan sesuatu agar beliau bertambah semangat. Tenagkan hatinya selalu jika dia mengalami kesusahan atau kesulitan.
- bantulah isteri dalam melakukan kebaikan dan Ibadah.


Sumber: perjalansuci.com

AMALAN-AMALAN KETIKA MENGANDUNG


"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, peliharalah anakku selama di dalam kandungan dan sembuhkanlah ia, Engkau Maha Penyembuh, tiada sembuhan melainkan penawar-mu, sembuh yang tidak meninggalkan kesan buruk. Ya Allah, lahirkan ia daripada kandunganku dengan kelahiran yang mudah dan sejahtera. Ya Allah, jadikanlah ia sihat sempurna, Ya Allah, elokkanlah perangai (akhlak), fasihkanlah lidahnya dan perelokkanlah suaranya untuk membaca hadis dan al-quran dengan berkat Nabi Muhammad s.a.w".

Memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t dengan memohon ampun dan taubat. Ibu yang hamil digalakkan banyak mengingati Allah supaya hatinya tenang dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Dengan ini diharapkan agar anak yang lahir nanti bersih hatinya dan ibu dapat melahirkan dengan tenang dan baik. Bapa juga digalakkan melakukan perkara yang sama ketika isterinya mengandung.Perempuan yang hamil juga digalakkan supaya banyak bermunajat ke hadrat Allah s.w.t dan memohon doa kepada-Nya semoga anak dalam kandungan sentiasa sihat dan agar dipermudahkan Tuhan bagi ibu tersebut.

Banyak melakukan ibadat, membuat kebajikan dan meninggalkan segala larangannya. Perempuan yang sedang hamil digalakkan memperbanyak mendirikan solat malam, solat sunnat, sentiasa menutup aurat.Manakala suami juga dituntut memperbanyakkan ibadat, berpuasa sunat terutamanya pada hari hari yang disunnatkan iaitu Isnin dan Khamis. Ibu yang hamil juga adalah digalakkan untuk sentiasa membaca makthurat terutamanya setiap kali selepas solat.

Memperbanyakkan membaca Al-Quran, ibu-ibu yang mengandung perlu memperbanyakkan membaca Al-Quran dan cuba memahami makna bacaanya. Antara ayat-ayat Al-Quran yang elok dibaca ialah : surah Al-Fatihah, surah at-Taubah, surah Yusuf, surah Luqman, surah an-nahl ayat ke 78 dan surah al-A'raf ayat 189. Selain ibadah ia juga dapat memudahkan bersalin, mendapat anak yang sihat dan sempurna, anak yang patuh dan taat pada Allah dan Rasul-nya.

Sentiasa berakhlak yang baik. Bagi ibu-ibu yang hamil hendaklah sentias menjaga akhlaknya dan bersikap baik kepad jiran tetangga, tidak suka berborak- borak kosong dengan jiran kerana sikap yang tidak elok ini boleh mempergaruhi anak yang akan dilahirkan kelak. Perbanyakkan membaca Al-Quran daripada berborak-borak kosong. Demekianlah amalan yang dituntut bagi ibu yang hamil untuk mengamalkannya semoga Allah akan memberi ganjaran pahala kepadanya dan diharapkan anak yang akan lahir nanti anak yang betul-betul taat kepada Allah, Rasul dan ibu bapanya.


Sumber: perjalanansuci.com

Friday, April 4, 2008

Perkembangan bayi - Bln 9 dan seterusnya

Minggu ke-33, bayi kita telah memiliki rupa parasnya yang tersendiri. Rupa inilah nanti yang bakal puan lihat apabila dia lahir kelak. Malah, bayi kita juga sudah boleh membezakan antara terang dengan gelap. Sebagai ibu, inilah masanya puan perlu mendapatkan seberapa bayak rehat yang boleh. Cubalah berbaring sebentar pada waktu tengahari kerana puan mungkin penat ekoran membawa perut yang membesar.

Minggu ke-34, kedudukan bayi pada ketika ini telah betul-betul berada pada pintu rahim. Panjang bayi kira-kira 40.5 cm. Sekarang bayi puan telah terbentuk dengan sempurna dan badannya juga sudah seimbang. Masa ini lemak semakin terkumpul dengan pesatnya di bawah kulit bayi. Jadi bayi kelihatan agak tembam.

Minggu ke-35 pula, akan berlaku perubahan pada diri puan. Puan akan merasai kesukaran untuk bernafas, membuang air kecil dengan lebih kerap dan seringkali tidak dapat mengawal air kencing apabila terbatuk, bersin, atau tertawa dengan kuat. Manakala garisan gelap yang mengarah ke bawah perut sudah menjadi lebih ketara dan menonjol. Puan perlu melakukan beberapa senaman termasuklah senaman pelvik untuk menguatkan rahim.

Bagi mereka yang bekerja, minggu ke-36 pula sewajarnya sudah mengambil cuti dan berehat di rumah. Puan perlu mengelakkan keletihan dan kelesuan. Senantiasa angkat kaki dan letakkan di atas bantal ataupun objek tinggi untuk mengelakkan urat timbul atau "varicose vein" dan bengkak kaki. Bayi pada masa ini sudah membesar dan saiznya memenuhi ruang uterus puan pada ketika ini. Puan akan berasa perut puan begitu penuh, sarat dan sukar untuk membuat sebarang pergerakan.

Bila sudah tiba minggu ke-37, kepala bayi mungkin sudah turun ke ruang pelvik. Bonjolan ketara pada perut akan semakin membesar. Bentuk bayi dalam kandungan juga semakin membulat dan kulitnya bertukar menjadi merah jambu. Rambutnya tumbuh dengan lebat dan bertambah sebanyak 5 cm. Kuku lembut telah terbentuk pada hujung jari tangan dan kaki.

Pada minggu ke-38, puan tentu akan dapat merasa keadaan pundi kencing yang sedikit tertekan dan ini akan menyebabkan kita kerap mahu membuang air kencing.

Puan seterusnya akan memasuki minggu ke-39, saat hampir bersalin minggu kedua terakhir sebelum bersalin. Perut kita sudah begitu besar dan berat. Buat masa ini kita perlu fokuskan fikiran kepada perkara-perkara positif dan bayangkan pemandangan indah. Kita perlu pastikan segala persediaan untuk melahirkan telah siap dikemas dan diletakkan di tempat yang muda diambil.

Minggu ke-40 adalah minggu terakhir dan memasuki minggu ini adlaah saat yang ditunggu-tunggu. Puan akan merasa tidak selesa dan tegang pada bahagian abdomen dan akan merasa sedikit gatal. Puan juga akan mulai rasa kebas pada bahagian kaki. Bayi kita dalam kandungan kini telah bersedia untuk dilahirkan. Panjangnya sudah 51 cm dan beratnya telah menjangkau 3.4 kg. Jadi impian puan dan suami kini akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa sahaja lagi. Bersabar dan saya berharap semuanya selamat.


Sumber dari mengandung.com

Perkembangan bayi - Bln 8

Minggu ke-29. Postur kita akan kelihatan lebih besar pada bahagian hadapan. Pada masa ini kulit bayi dalam kandungan semakin merah. Namun ia kelihatan agak berkedut sedikit dan lelemak sudah mula terkumpul pada bahagian bawah kulit. Kelopak matanya juga telah terbuka dan sistem pendengaran telah terbentuk dengan sempurna.

Seterusnya minggu ke-30. Puan perlu banyak berehat. Jika puan tidak bekerja, pastikan puan mendapat rehat yang cukup pada hari siang. Pada waktu malamnya pula, pastikan puan tidur awal dan dapat tidur dengan selesa. Tips tidur - angkat sedikit kaki dan letakkan beberapa biji bantal di bawahnya. Jadi minggu-minggu terakhir ini kita secara rumusannya perlukan rehat yang cukup dan selesa.

Memasuki minggu ke-31. Bagi sesetengah wanita hamil akan mendapati tanda kesan regangan merah pada perutnya. Manakala pada payu daranya pula akan kelihatan salur darah yang agak jelas timbul. Ketika ini kedudukan kepala bayi masih berada di bawah. Panjang badannya kini boleh mencecah 37 cm dengan berat 900 g.

Minggu ke-32 pula, bayi kita telah mengalami pertambahan berat badan. Ia mencapai 1.6 kg. Secara normal kedudukan kepala bayi masih berada di bawah. Menyentuh soal hubungan suami isteri pula, sesetengah wanita hamil akan berasa bimbang apabila melakukan persetubuhan kerana takut ia mencederakan bayi yang dikandung. Sebenarnya, puan-puan tidak perlu risau untuk melakukan hubungan seks ketika ini kerana ia tidak akan mencederakan bayi.

Perkembangan bayi - Bln 6

Pada minggu ke-21, kita akan mengalami banyak perubahan sementara bayi dalam kandungan pula membesar dengan perlahan. Jadi penjagaan kesihatan agar senantiasa sihat dan bertenaga amat penting. Kita perlu elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat yang boleh membebankan bahagian belakang. Malah kita perlu mengelakkan dari memakai kasut bertumit tinggi.

Seterusnya minggu ke-22. Struktur gigi bayi kita mula berkembang. Pergerakan bayi kita juga menjadi semakin aktif. Puan sebaiknya-baiknya memberikan tindakbalas dengan setiap gerakan, tendangan atau bunyi dalam uterus tersebut. Pada masa ini puan sudah boleh perdengarkannya dengan alunan zikir dan ayat-ayat suci Al-Quran untuk memberikan pendedahan dan didikan awal sejak dalam kandungan lagi. Dekatkan perakam atau pemain cakera padat dekat dengan perut puan. InsyaAllah bayi kita yang bakal lahir akan menjadi anak-anak yang pintar lagi soleh. Belailah gerakan bayi anda dengan penuh kasih sayang.

Kini kita di minggu ke-23. Pada masa ini tangan dan kaki bayi telah terbentuk dengan baik. Jari-jemarinya juga terbentuk dengan baik. Perubahan yang berlaku pada puan untuk minggu ini amat baik. Antaranya ialah rambut, tekstur kulit, kuku da warna kulit. Rambut kita akan menjadi lebat dan berkilauan. Kulit pula akan menjadi bertambah gebu, licin dan lembut.

Pada minggu ke-24 pula, puan akan merasa gembira, sihat dan berpuas hati dengan perjalanan kehamilan puan. Kita akan dapati berat badan kita bertambah secara normal. Perlu kita ketahui bahawa pada minggu ini kedudukan kepala bayi lazimnya berada pada bahagian bawah. Manakala kulit bayi akan menjadi semakin menebal. Namun jangan terkejut sekiranya puan dapati muka menjadi sembap dan membengkak pada ketika ini. Ini kerana tubuh sudah mula menyimpan air yang berlebihan.

Perkembangan bayi - Bln 7

Fenomena yang sering berlaku pada minggu ke-25 dan minggu ke-26 ialah badan kita akan senantiasa berpeluh dan berasa panas. Bagi menghilangkan rasa panas tersebut, minumlah banyak air. Untuk mengelakkan dehidrasi semasa bekerja terutama ketika berada dalam penghawa dingin (aircond), basahkan tuala kecil dan lapkan pada bahagian muka, leher, dada, peha dan perut. Pakailah pakaian yang longgar untuk keselesaan. Pada minggu ini saiz bayi kita sudah mencapai 33 cm.

Sekarang minggu ke-27, bayi kita sudah mulai pandai menghisap ibu jari dan menelan air panas (cecair amnion) yang mengelilinginya. Air yang ditelan itu akan keluar daripada badannya sebagai air kencing. Tunas rasa bayi pada masa ini baru terbentuk. Ia sudah bleh bertindakbalas kepada rasa manis, masam dan pahit. Kelenjar peluhnya juga sudah mulai terbentuk dan bayi sudah boleh batuk dan tersedu. Sepanjang kehamilan ini kita amat digalakkan memakai pakaian yang diperbuat dari kain kapas yang boleh menyerap haba dengan baik.

Kini masuk minggu ke-28, bermakna kita hanya tinggal lagi 3 bulan sebelum saat kelahiran yang ditunggu-tunggu tiba. Puan mungkin akan menjadi sedikit pelupa, kekok dan agak janggal. sepanjang bulan-bulan terakhir ini, bayi kita juga telah mula menyimpan bekalan lemak dalam badan. Selain itu puan juga mungkin akan mengalami sakit ulu hati, senak dan kadang-kadang kejang pada bahagian betis. Jangan terkejut jika kita akan berhadapan dengan kontraksi. Ia bukan kontraksi untuk melahirkan tetapi ia sebalik adalah kontaksi kecil yang dipanggil iBraxton Hiksi. Sepanjang kehamilan kita cuba elakkan daripada berfikir perkara-perkara buruk atau negetif. Banyakkan membaca majalah-majalah atau menonton rancangan tv yang berfaedah untuk minda dan perkembangan kehamilan kita.

Perkembangan bayi - Bln 5

Minggu ke-17, rambut, kening, bulu mata bayi kita mulai tumbuh sementara garis kulit pada hujung jari juga mula terbentuk. Antara keajaiban Allah s.w.t pada saat ini ialah bayi kita telah mempunyai cap carinya yang tersendiri. Walaupun pada masa ini panjang bayi hanya kira-kira 16 cm sahaja iaitu seperti sebatang pen. Puan mungkin akan alami sembelit akibat sistem usus yang perlahan. Rahim kita pula akan semakin membesar dan menekan pundi kencing. Jadi amalkan pada minggu ini, meminum lebih banyak air masak dan memakan makanan berserat, jus buah-buahan serta sayur-sayuran hijau.

Kini kita menyorot pula perkembangan pada minggu ke-18. Walaupun matanya masih lagi tertutup, bayi dalam kandungan kita sudah dapat mengenalpasti cahaya terang menerusi dinding rahim. Bayi kita dapat mendengar degupan jantung kita pada masa ini. Bayi dalam kandungan juga telah mula berbaring pada lelemak yang boleh memanaskan badannya.

Pengaliran oestrogen dan progesterone semakin meningkat dalam badan semasa kehamilan puan masuk minggu ke-18 ini. Ia bertujuan untuk melembutkan serta membesarkan serviks untuk proses bersalin. Kesan yang sama pada selaput mukus dihidung juga berlaku yang boleh menyebabkan berdarah.

Seterusnya kita mengikuti perkembangan minggu ke-19. Bayi akan mula mengeluarkan bahan berwarna putih yang tebal dan berkrim untuk menyelaputi keseluruh tubuhnya. Ia dikenali sebagai verniks dan berfungsi untuk melindungi kulitnya daripada cecair amniotik yang mengelilinginya. Jadi apabila bayi kita lahir kelak bayi kita tidak akan kelihatan seperti tidak mandi selama sembilan bulan. Sesetengah ibu akan berlaku kesan stretchmarks atau tanda calar pada bahagian perut. Hampir 90% wanita akan mengalaminya.

Minggu ke-20. Pertumbuhan bayi dalam kandungan puan saat ini adalah agak perlahan kerana memberi peluang kepada paru-paru dan sistem penghadaman serta imunnya untuk matang. Saiz bayi ketika ini ialah kira-kira 25 cm panjang dan mempunyai berat dalam lingkungan 340 g.

Pigmentasi pada kulit kita mungkin berlaku dengan lebih ketara tetapi ianya akan hilang selepas bersalin nanti. Payu dara kita juga saat ini sedang menghasilkan kolostrum iaitu sejenis bahan cecair keruh (warnanya) yang berfungsi untuk membekalkan semua bahan yang diperlukan oleh bayi kita pada hari pertama selepas lahir. Jangan cuba memicit cecair itu.

Selain itu puan juga akan sering mengalami masalah gusi berdarah dan peningkatan keluaran cecair dari faraj. Sendi dan ligamen-ligamen badan juga akan menjadi kendur. Kita akan lebih kerap merasa sakit pada bahagian belakang badan serta ketegangan dibahagian lain.

Perkembangan bayi - Bln 4

Minggu ke-13, kepala bayi membesar dengan lebih cepat daripada yang lain-lain. Badannya juga semakin membesar untuk mengejar tumbesaran kepala. Berat bayi kita kini boleh mencecah kira-kira 30g. Kuku kaki dan tangan juga mula tumbuh. Pada masa ini puan mungkin akan mengalami perubahan ketara akibat perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Sebagai contoh rembesan minyak menyebabkan wajah kita berbintik-bintik. Kita perlu banyak meminum air suam/masak serta membersihkan muka sekurang-kurangnya 2-3 kali sehari.

Masuk minggu ke-14 degupan jantung bayi akan semakin kuat dan kita sudah boleh mendengarnya melalui ujian imbasan. Lajunya adalah 2 kali ganda kelajuan jantung kita. Pada masa ini bayi kelihatan kurus kerana belum terdapat lapisan lemak. Kulitnya juga sangat nipis sehingga kita dapat melihat saluran darahnya. Pada tahap ini juga biasanya ibu hamil akan mengalami masalah sembelit kerana pergerakan usus cenderung diperlahankan semasa hamil. Jadi elakkan daripada memakai pakaian yang ketat atau sendat agar puan-puan berada dalam keadaan yang selesa.

Minggu seterusnya iaitu minggu ke-15, bayi kita sudah mampu menggenggam tangannya dan menghisap ibu jari. Kelopak matanya masih tertutup dan akan terus kekal sedemikian sehingga minggu ke-26. Walaupun begitu bayi boleh mengetahui perubahan cahaya ketika ini. Bayi kita juga sudah boleh menelan. Puan akan merasa perubahan ketara kerana garis pinggang kita akan mengembang dan jantung mula berdegup 20% lebih pantas kerana isipadu darah mengalir dalam badan telah meningkat.

Jadi banyakkan senaman ringkas atau puan juga boleh melakukan aktiviti berenang untuk meringankan simptom kehamilan dan menyediakan stamina manjadi lebih kuat ketika proses kelahiran kelak.

Minggu ke-16. Kehamilan puan kini sudah hampir 4 bulan. Pada masa ini badan kita perlu senantiasa sihat dan bertenaga. Bayi kita telah terbentuk sepenuhnya dan perlu diberikan nutrien yang secukupnya oleh plasenta. Bayi kita mula menerima nutrien dari plasenta sejak minggu ke-14. Kini bayi dalam kandungan telah mempunyai tulang yang kuat dan dia juga sudah boleh mendengar bunyi-bunyian untuk pertama kali.

Perkembangan bayi - Bln 3

Saiz bayi pada usia minggu ke-9 hanyalah sebesar sebiji anggur iaitu dalam saiz seinci. Pembentukan telinga sudah kelihatan pada masa ini. Dan yang paling mengembirakan bagi bakal ibu ialah pada saat inilah bayi kita sudah mulai mengerakkan anggota badannya. (Sudah boleh menggerakkan jejari tangan manakala jejari kakinya masih bercantum).

Pada usianya masuk minggu ke-10, bayi kita sudah kelihatan seperti manusia yang lengkap. Pada minggu ini, payu dara puan akan sedikit membengkak kerana terdapat cecair oestrogen dan progesterone sebagai persediaan untuk menyusukan bayi kelak.

Pada usia kehamilan minggu pertama - minggu ke 10, ibu yang hamil amat memerlukan zat besi. Dengan zat besi tersebut ianya dapat membantu ibu hamil untuk menghilangkan rasa loya, muntah-muntah serta alahan. Dengan zat besi yang mudah hadam juga dapat membantu tumbesaran janin. Antara sindromyang dapat dicegah atau dikurangkan dengan pengambilan zat besi ini ialah dapat mencegah demam, batuk, selsema,sejuk-sejuk, sakit kepala, sakit gigi dan lain-lain lagi. Paling penting ia juga turut membantu melancarkan aliran darah dan mencegah daripada masalah urat bersimpul di betis dan kaki serta menghilangkan letih dan lesu.

Pada usia kehamilan masuk minggu ke-11, bayi dalam kandungan akan mulai suatu proses pertumbuhan yang pesat dan mula mengangkat kepala ke atas jauh daripada dadanya. Alat kelamin luar pula mula terbentuk tetapi masih kecil sehingga sukar untuk melihat jantinanya samada lelaki atau perempuan semasa membuat imbasan.

Jadi menjelang minggu ke-12 iaitu usia kehamilan 3 bulan, kebanyakan wanita akan mula kelihatan tanda-tanda fizikal tentang kehamilannya. Sekarang bayi akan membesar dengan cepat. Saiz bayi dalam kandungan akan bertambah beberapa milimeter setiap hari. Wajahnya juga semakin jelas.

Jari jemari kaki dan tangan mula terbentuk termasuk telinga dan kelopak mata. Berat bayi pada masa ini adalah kira-kira satu aun (28g) dan panjangnya dalam 8 cm.

Risiko keguguran berkurangan pada minggu ke-12 kerana bayi semakin kukuh kedudukannya. Pada masa ini bayi dah boleh menguap, menggeliat, memusing badan tetapi kerana saiznya yang masih kecil kita tidak akan dapat merasakan sebarang pergerakan.

Perkembangan bayi - Bln 2

Embrio akan terus membesar sehingga pada minggu ke-5 didapati terdapat 3 lapisan iaitu ectoderm, mesoderm dan dan endoderm. Ectoderm adalah lapisan yang paling atas. Ianya akan membentuk sistem saraf pada janin tersebut yang seterusnya membentuk otak, tulang belakang, kulit serta rambut. Manakala lapisan mesoderm pula yang berada pada lapisan tengah akan membentuk organ penting yang asas iaitu jantung, buah pinggang, tulang dan organ reproduktif.

Selain itu, kita perlu tahu bahawa dalam pembentukkan janin ini, sistem peredaran darah adalah yang pertama terbentuk dan berfungsi. Akhir sekali ialah lapisan endoderm iaitu lapisan paling dalam yang akan membentuk organ dalaman seperti usus, hati, pankreas dan pundi kencing.

Kalau kita gambarkan saiz janin 6 mm itu hanyalah sebesar biji tembikai sahaja.

Pada minggu ke-6, sekiranya pemeriksaan secara ultrasound dilakukan, kita akan dapat melihat janin sudah membentuk kepada dan badan. Biasanya getaran jantungnya juga sudah dapat dikesan.

Setelah usia janin minggu ke-7, bentuk bayi semakin jelas terbentuk. Kepala bayi seolah-olah tertunduk dan berada dalam cecair ~ air ketuban atau amnotic sac yang akan memberikan keperluan tumbesaran bayi semasa dalam kandungan.

Untuk pengetahuan, pada usia kandungan kita minggu ke-8, rupa bayi sudah mulai terbentuk antaranya pembentukan lubang hidung, bibir, mulut serta lidah. Matanya juga sudah kelihatan berada di bawah membran kulit yang nipis. Pada masa ini juga anggota tangan serta kaki juga terbentuk walaupun tidak berapa jelas lagi.

Perkembangan bayi - Bln 1

Pada usia kehamilan kita seminggu iaitu setelah 8 hari selepas proses persenyawaan berlaku, blastocyst (kini mengandungi 200 sel) merembeskan mukus untuk memberitahu kehadirannya di dalam rahim.

Masuk minggu ke-2, blastocyst menggelembung dan sel-sel mula berkembang dan terbahagi kira-kira 2 kali sehari sehinggalah pada hari yang ke 12 jumlahnya telah bertambah dan membantu blastocyst terpaut atau disauh dengan kukuh pada endometrium.

Kemudian masuk minggu ke-3 selepas proses persenyawaan berlaku, saiz embrio terbentuk dan saiznya hanyalah sepanjang 0.08 inci/2 mm. Gen janin mula hendak membentuk dalam 3 lapisan benih(sel) daripada organ badan yang akan bergabung.

Pada minggu ke-4 berikutnya, janin kita sudah mulai membentuk struktur asas manusia dimana sel-sel mula bergabung dan pada masa itu embrio sudah mulai memanjang kira-kira 1/4 inci / 6 mm.Pada masa ini sudah kelihatan pembentukan otak dan tulang belakang serta anggota lain seperti jantung yang mengepam darah ke paru-paru dan aorta (urat besar yang membawa darah daripada jantung).


Sakit pinggang

Sekarang kandungan ku telah berusia 3bln 4 hari. Alhamdulillah segalanya masih selamat. Tetapi, pada waktu ini aku sering mengalami sakit belakang. Perkara ini telah diajukan kepada doktor. Katanya, ketika mengandung, segala tulang ibu menjadi lembut dan membengkok. Oleh itu ibu akan mudah berasa sakit-sakit.

Penerangan itu tidak bisa menenangkan ku. Kerana kesakitan yang dirasai amat memeritkan. Kekadang terasa seolah-olah ingin menangis menahan kesakitan. Nak diurut bimbang terjadi perkara yang tidak diingini. Berdiri atau berjalan dalam waktu yang lama akan menambahkan lagi kesakitan yang ditanggung. Tetapi sekarang ini, berjalan didalam pejabat pun sudah terasa sakitnya. Sekiranya aku berbaring, amat sukar untuk aku bangkit. Mahu memusingkan badan pun sukar. Aku menggambarkan kesakitan ini harus aku tempuhi sepanjang 6 bln lebih lagi. Ya Allah satu jangka masa yang panjang. Benar-benar berharap agar aku dapat bertahan.

Apabila aku ceritakan sakit ku kepada rakanku yang pernah mengandung, mereka agak terkejut. Kerana sepatutnya apabila kandungan dlm lingkungan 7 bln keatas baru terasa sakit pinggang. Mmmmmmm... ini mungkin kerana keadaan tubuh ku. Sebelum aku berkahwin lagi aku selalu mengalami sakit pinggang. Bila aku rujuk pada doktor, doktor kata tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. X-tray pun ok. Kesannya adalah pada waktu sekarang. Ketika aku mengandung. Harus aku menerima segalanya demi bayi yang aku kandungkan. Umi sayang baby...

Ya Allah ampun kan lah segala dosa ku dengan kesakitan yang ditanggung ini. Baru sekarang aku sedar betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Sekarang begitu mudah air mata ku gugur sekiranya melihat sandiwara yang melibatkan hubungan anak dan orang tuanya.