Pages

Friday, June 20, 2008

Bayi ku sayang

Sudah lama rasanya tidak menulis disini. Terasa rindu untuk meninggalkan segalanya buat tatapan simanja ku nanti. Alhamdulillah baby sihat hendaknya. Ummi dapat rasakan pergerakan baby. Sekarang usia baby dalam kandungan sudah mencecah 5 bln 20 hari. Sedikit hari lagi baby akan berusia 6 bln. Pada awal bulan yang lalu, ummi dan abah pergi ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Bagi memastikan baby sihat dalam rahim ummi. Alhamdulillah segalanya normal. Menurut doktor baby membesar dengan normal. Ummi lihat pun baby dah semakin besar. Hajat ummi dan abah nak pastikan terus baby ummi ni lelaki ke perempuan... Tapi baby malu... baby meniarap tak nak kasi ummi dan abah tengok. Doktor tunggu sampai baby bergerak, tapi tetap tak nampak sebab baby tutup dengan betis baby. Mmmmmm... tak pe lah. Ummi dan abah tak kisah. Lelaki perempuan, ummi tetap akan sayang baby. Sebab baby lah permata ummi dan abah. Pengerat kasih sayang antara ummi dan abah.

Sekarang baby semakin aktif bergerak dalam rahim ummi. Ummi dapat rasakan setiap pergerakan baby. Semasa ummi menaip sekarang pun baby masih lagi bergerak. Bergeraklah sayang, biar ummi rasa baby sentiasa dekat dengan ummi.

Baby... semalam ummi menonton pertandingan akhir Akademi Al-Quran (AQ). Seronok ummi tengok diorang pandai baca Quran. Indah bacaan mereka. Pada penghujung rancangan, disaat mereka mengumumkan pemenang... tanpa ditahan ummi mengalirkan airmata. Ummi amat-amat mengharapkan anak ummi nanti akan menjadi seperti mereka. Lancar membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Sentiasa membasahkan bibir dengan zikir-zikir Allah. Ummi doakan agar baby menjadi seorang pejuang agama kelak. Ameeeennnn... Itulah yang terbit dari sudut hati ummi sebaik ummi tahu baby wujud didalam rahim ummi.


Ummi dan abah sentiasa doakan kebaikan untuk baby....

Monday, June 2, 2008

Gerakan Pertama

Pada 15 Mei 2008 Saya dan suami telah pulang ke kampung halaman saya. Seronok rasanya bila dapat pulang. Dapatlah saya makan masakan kampung. Kali ini saya mengidamkan makanan ala-ala kenduri. Lauk yang diminta adalah gulai lemak cili padi ayam kampung, gulai tempoyak ikan patin bersama timun tahun dan masak sambal hati ayam bersama kacang panjang. Kombinasi lauk pauk tersebut adalah yang biasanya menjadi hidangan ketika kenduri di tempat saya. Berselera benar saya makan pada hari tersebut. Puas rasanya.

Pada malam itu, saya masih makan lauk yang sama. Kali ini ditambah pula dengan ulam jering. Waaaaaaa........ sedapnya tak terkira. Sesudah makan, saya duduk berehat di kusyen bersama suami yang terdapat diruangan dapur sambil menonton tv. Ketika sedang berehat, tiba-tiba saya dapat rasakan sesuatu yang agak berlainan. Saya rasa ada satu pergerakan di tempat baby. Saya memegang perut. Cuba mengamati sambil memandang perut. Saya masih dapat merasakan pergerakan tersebut.

Saya tersenyum, sambil memandang suami, saya katakan padanya yang saya telah dapat merasakan pergerakan pertama bayi kami. Ketika ini, kandungan saya berusia 4 bulan setengah. Suami tersenyum gembira.

Seronoknya Ya Allah ketika merasakan gerakannya. Gerakan tersebut sukar untuk dinyatakan bagaimana rasanya. Tetapi, bagi ibu yang hamil, anda akan mengetahui bahawa pergerakan itu terhasil daripada pergerakan bayi anda. Kini saya terasa amat hampir dengannya. Dan mengetahui serta sedar bahawa dia sentiasa bersama kita. Sesungguhnya, dia berada didalam kita. Dia dan kita adalah satu.