Pages

Monday, January 19, 2009

Pakar Pediatrik

Perlu bagi kita (ibu bapa) mendapatkan pediatrik untuk anak kita. Ia bagi memudahkan kita untuk membuat rujukan sekiranya anak kita mempunyai sebarang masalah kesihatan. Ia telah berlaku keada ku. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan, cukup sekadar merujuk kepada klinik kesihatan bahagian ibu dan anak. Tetapi pastikan anak kita mendapat rawatan yang sewajarnya.

Dan bagi mereka yang mampu, apa salahnya jika kita rujuk anak kita kepada pakar pediatrik. Pilih pidiatrik yang bagus. Yang mampu menerangkan serta merekodkan perkembagan dan tahap kesihatan anak kita.

Seperti apa yang telah berlaku keatas anakku. Aku serik dengan apa yang berlaku (lihat entri sebelum ini). Kini aku bertukar pediatrik. Alhamdulillah aku berpuas hati dengan pakar pediatrik Afnan Mujahid sekarang. Dia ramah dengan aku dan dia mengendalikan Mujahid dengan baik. Penerangannya juga jelas. Dia merekod setiap yang perlu di dalam buku rekod kesihatan Mujahid.

Klinik yang menjadi rujukan kami sekarang:

Klinik Pakar Kanak-Kanak Shanaliza
70, Jln 1/2F, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur
Tel: 03-41496660 Fax: 03-41496661


Duit boleh dicari. Anak sapa nak ganti?....

Kahak

Sejak Afnan Mujahid lahir nafasnya bunyi seolah-olah tersekat. Bunyinya seperti orang yang selsema. Dan terasa seolah ada sesuatu yang tersekat di tekak. Aku utarakan masalah tersebut kepada jururawat desa yang selalu datang melawat aku dan baby ketika aku berpantang di kampung. Malangnya dia tidak memberi sebarang respon pada soalan aku. Apa yang dia katakan hanyalah "Kalau baby selsema memang tiada ubat. Awak sapu Vits je pada hidung dan dada dia".

Pada bulan December yang lalu, kami telah pulang ke Bagan Serai, Perak (kampung suami). Semasa disana kami pergi ke klinik pakar kanak-kanak (Klinik Ho Pakar Kanak-Kanak, Parit Buntar, Perak). Aku amat terkejut apabila diberitahu oleh dr. Ho yang kesihatan Afnan Mujahid tidak memuaskan dan perlu dimasukkan ke wad dengan segera! Menurutnya, kahaknya sudah terlalu banyak dan ini membahayakan paru-parunya. Kami mohon jasa baik Dr. Ho untuk tidak merujuk kes kami ke hospital kesihatan. Aku tidak mahu anakku ditahan diwad. Umur anakku ketika itu belum pun lagi 2 bulan.

Dr menyarankan sejenis rawatan (sedut gas). Kami bersetuju. Dan gas tersebut perlu diambil oleh Afnan Mujahid sebanyak 2 kali sehari. Iaitu diwaktu pagi dan malam. Sepanjang tempoh kami berada di perak, kami terpaksa berulang alik dari Bagan Serai ke Parit Buntar setiap pagi dan malam untuk mendapatkan rawatan bagi anakku.

Kesan daripada gas tersebut, anakku akan muntah bagi mengeluarkan kahaknya. Dan ia juga mungkin keluar bersama-sama najisnya. Najis akan kelihatan melekit dan berlendir. Alhamdulillah, setelah beberapa kali kami berulang alik, Afnan Mujahid menunjukkan riaksi yang positif. Nafasnya juga sudah tidak berbunyi. keadaannya beransur pulih. Kami juga dibekalkan dengan ubat-ubatan (kahak, batuk & antibiotik).

Bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan Parit Buntar, perak. Aku amat menyarankan agar mendapatkan rawatan bagi sikecil anda di Klinik Dr. Ho. Semasa diklinik tersebut, sempat aku berbual-bual dengan ibu kanak-kanak yang lain. Mereka datang dari pelbagai tempat. Ada yang dari kedah dan yang selalu terserempak dengan kami semasa mendapatkan rawatan datang dari Bukit Merah. Layanan serta perkhidmatan yang diberikan sangat memuaskan hati.


Setelah apa yang berlaku, aku amat tidak berpuas hati dengan Klinik Kesihatan dan sebuah klinik swasta yang menjadi rujukan aku dan suami untuk Afnan Mujahid.

Tanda - tanda aku ...

Aku pernah tertanya-tanya dan bertanya kepada rakan-rakan, apakah tanda-tanda untuk bersalin. Bagaimana kita akan tahu bahawa itu adalah tanda bersalin? Semuanya sukar untuk memberikan jawapan kepada ku. Berikut adalah tanda-tanda yang terdapat padaku apabila hampir pada hari aku bersalin:

  1. Sakit pinggang - Aku rasakan sejak minggu ke-36 aku mengandung. Semakin hampir untuk bersalin semakin kerap ia sakit. Aku bersalin pada kandungan berusia 38 minggu 2 hari
  2. Lendir - Terdapat lendir yang keluar. Ia keluar bersama-sama keputihan. Dan keputihan juga keluar dalam kuantiti yang banyak dar kebiasaan. Ia berlaku pada kandunganku berusia 37 minggu. Lendir semakin kerap dan banyak keluar pada hujung kehamilanku. Ia kekadang berketul-ketul. Pada awal pagi hari kelahiran (baca saat kelahiran dalam entriku) ia berketul dan banyak. Tetapi ia keluar tanpa darah.
  3. Sengal pinggang - Sengal dan lenguh-lenguh di sekitar kawasan pinggang berlaku hampir dengan waktu kelahiran bayiku. Ia adalah lenguh yang amat sangat dan rasanya lain dari hari yang lain. (rujuk entri saat kelahiran)
  4. Ketuban pecah - ini berlaku apabila aku sudah hampir bersalin. Keluar air dari jalan tersebut tanpa dapat ditahan.
  5. Kontraksi rahim - Ia berlaku serentak ketika air ketubanku pecah.

Tanda-tanda kelahiran bagi setiap wanita berbeza-beza. Mungkin ada yang berasa kontraksi dulu kemudian diikuti dengan tanda-tanda lain. Tetapi ia boleh dijadikan panduan dan rujukan.

Ketahuilah, bahawa naluri kita sendiri akan memberitahu kita bilakah kita akan melahirkan. Percaya pada naluri kita :-)

TANDA-TANDA BERSALIN


Sekarang anda sudah hamil dan anda mungkin sudah bersedia untuk mengadapi hari kelahiran bayi anda. Proses kelahiran boleh memberikan keriangan dan juga ketakutan bagi mereka yang hamil. Anda rasa tidak sabar untuk melihat bayi anda dan dalam masa yang sama merasa takut terhadap kesakitan dan komplikasi yang mungkin berlaku semasa proses bersalin.
Ramai wanita merasa bimbang yang mungkin mereka tidak dapat mengenali tanda-tanda hendak bersalin sekiranya ia terjadi. Adalah penting untuk anda mempelajari tanda tanda awal bersalin supaya anda boleh membuat persediaan yang optimal untuk mengahdapi kelahiran.

serviks

BERSEDIA UNTUK KELAHIRAN

Sebelum kandungan anda semakin berusia, adalah cukup bagus untuk anda mengetahui peringkat-peringkat kelahiran. Sekiranya anda ingin melahirkan dihospital, cuba buat ‘tour’ disekitar bilik bersalin anda.
Ini adalah tip mudah untuk anda menyiapkan diri untuk kelahiran anda:
• menghadiri kelas antenatal
• Berbincang dengan kawan yang pernah melahirkan
• Tonton video kelahiran
• Amalkan pernafasan and relaksasi.
Tanda bersalin sebenar Vs Tanda bersalin tidak benar
Sekiranya anda merasa keliru yang mana satu tanda kelahiran benar atau tidak, anda bukannya berseorangan. Memang ramai yang tidak begitu pasti tentang tanda awal bersalin. Ramai yang mengadu mengalami tanda seperti mahu bersalin tetapi tidak tahu samada masa sudah benar-benar tiba atau cuma mengalami masalah sakit perut biasa sahaja. Sekiranya merasa ragu, jumpa saja dengan doktor, tak perlu rasa malu sekiranya ia terbukti bukan masanya lagi. Yang penting, jangan tidak mengendahkan tanda-tanda tersebut.

KONTRAKSI RAHIM

Kontraksi adalah tanda awal dan isyarat yang paling penting yang menunjukkan anda sudah sampai masa untuk bersalin. sekiranya kontraksi sudah ada, cuba perhatikan masa, tempoh dan berapa minit jarak diantaranya. Kontraksi yang sebenar berlaku secara teratur dan pada jarak yang konsisten. sekiranya ia berlaku setiap 5 min secara teratur dan semakin kerap, pergilah berjumpa dengan doktor untuk mendapat kepastian.
Kontraksi biasa atau Braxton Hicks contraction agak berbeza, ia kurang menyakitkan dan tidak teratur dan akan hilang dengan sendirinya tidak lama kemudiannya.

Sakit Belakang

Sakit belakang sering menjadi masalah utama wanita hamil, tetapi ia juga mungkin satu tanda kelahiran. Sakit ini akan semakin kerap dan kuat dan rasa lebih teruk pada bahagian bawah belakang.

Pecah ketuban

Dalam cerita drama atau filem,wanita selalunya sedar yang mereka bakal melahirkan apabila ketuban mereka pecah. Tapi ia bukan realiti sebenar. Kebanyakkan wanita langsung tidak mengalami pecah ketuban sehinggalah disaat-saat akhir proses bersalin. Yang kerapnya, doktor yang akan memecahkan ketuban anda untuk mempercepatkan proses bersalin.
Pecah ketuban berlaku pada segelintir wanita hamil sahaja dan sekiranya anda mensyakki yang ketuban sudah pecah, jumpalah dengan doktor dengan segera.

Bloody Show

Disaat awal anda bakal melahirkan, selalunya terdapat lendir pekat bercampur darah keluar dari faraj. Ini adalah pluk mukus yang menghadang sebarang kemasukkan asing kedalam cerviks. Ia juga menghalang sebarang kuman dari merebak kepada bayi. sekarang pluk ini sudah tiada dan bayi sudah boleh bergerak kebawah dengan perlahan-lahan.

Serviks terbuka

Sebaik sahaja kontraksi berlaku, pangkal rahim anda akan menjadi lebih lembut dan lebih nipis. Walaubagaimanapun, cuma doktor sahaja yang boleh mengetahui perubahan ini semsa pemeriksaan faraj.


Sumber dari Alam Hamil

Sewaktu Berpantang

Waktu berpantang ku amat mencabar. Apa tidaknya, aku berpantang sewaktu orang lain seronok menyambut hari raya. Meriah dengan pakaian dan makanan. Nasib baik selepas sahaja aku bersalin, keesokan harinya suami membelikan aku baju raya. Warna sedondon dengan baju melayunya (terima kasih abang).

Waktu berpantang adalah waktu yang amat mencabar bagi aku. Kerap kali aku ulangi kata-kata ku kepada adik-adik ku, "Alah sewaktu mengandung orang cerita. Sakit nak bersalin pun orang ada cerita. So kak ngah dah sedia untuk hadapi semua tu. Tapi......... sakitnya sesudah bersalin dan sewaktu berpantang orang tak cerita. Kak ngah tak tau.. so lepas ni, kalau orang tanya, kak ngah akan cerita sakit sesudah bersalin dan cabaran semasa berpantang. Biar orang tahu dan bersedia!" "Ish tak baik awak ni kak ngah. Takutkan orang" balas adik ku. "Kak ngah bukan nak takutkan orang. Tapi kak ngah nak bagi diorang bersedia dari segi fizikal dan emosi. Jangan terkejut dengan situasi" Tegas aku.

Sesungguhnya benar aku tak bersedia untuk berhadapan dengan sakit sesudah bersalin. Selesai aku melahirkan anakku. Aku ditolak kekatil untuk berehat. Dan anak diletakkan disebelahku. Aku disuruh menyusukan anak. Aku masih belum mempunyai susu ketika itu (aku akan ceritakan berkenaan meyusukan dalam entri yang lain). Tidak berapa lama aku berehat diatas katil, aku merasakan sakit dibahagian perutku. Sakit sangat sehinggakan menyukarkan aku untuk bernafas. Datang seorang jururawat kearah aku apabila dia melihat aku seolah-olah menahan sakit. Aku katakan yang aku sedang sakit. Dia ada menyebut nama atau jenis sakit yang sedang aku alami... aku tak ingat apakah jenis sakit tersebut kerana aku tidak begitu fokus padanya ketika itu. Kemudian dia beredar dan datang semula kepadaku dengan membawa ubat penahan sakit. Sakitnya seolah-olah contraction untuk bersalin. Alhamdulillah keesokan harinya sakit tersebut hilang.

Pada kebiasaannya, selepas bersalin kita akan berurut. Malang bagi aku kerana waktu itu adalah waktu untuk membuat persiapan hari raya. Jadi, tiada sesiapa yang sanggup untuk datang mengurut ku. Ditambah pula dengan hari raya dan hari kenduri kendara untuk majlis perkahwinan. Hanya setelah hampir 2 minggu aku bersalin barulah aku dapat berurut.

Sepanjang tempoh itu, aku menderita kesakitan. Seluruh tubuhku sakit. Sampai satu tahap, aku tidak dapat menggerakkan langsung tubuh aku. Aku seolah-olah lumpuh. Segala pergerakanku memerlukan bantuan. Untuk bangun dari berbaring pun perlu dibantu. Bukan sekadar menarik tangan, tetapi mereka (suami atau adik beradikku) terpaksa memaut tubuhku. Untuk kebilik air pun aku perlu dipapah. Aku dimandikan, dipakaikan. Segala-galanya atas bantuan orang. Aku benar-benar sedih.

Membuang air besar adalah satu perkara yang amat menakutkan aku sepanjang dalam tempoh berpantang. Aku sembelit. Setiap kali selepas membuang air besar, pasti aku akan sakit yang teramat sangat dan aku tidak mampu untuk duduk. Jururawat kata yang aku buasir. Keadaan ini membuatkan aku takut untuk makan. Hampir seminggu aku tidak menyentuh makanan kerana takut untuk membuang air. Seluruh keluarga aku risau. Mereka memujuk aku dengan pelbagai cara agar aku makan. Aku sekadar minum air sahaja. Pernah satu ketika, apabila sakitnya sudah tidak dapat ditanggung, aku menangis samahu-mahunya. Aku menangis sehingga teresak-esak. Puas ibuku memujukku. Dia risau, katanya tidak elok bagi mereka yang masih didalam pantang menangis. Ibu ku risau akan datang pula sakit lain (meroyan). Sakit yang paling ditakuti ketika baru melahirkan. Waktu itu suamiku tiada disisi (pulang bekerja). Emosi aku mudah sahaja terganggu dalam tempoh ini. Aku mudah tersentuh.

Ketahuilah bagi suami-suami yang isterinya baru sahaja melahirkan anak, jagalah emosi isteri sebaik mungkin. Waktu ini hati-hati isteri mudah terusik dan tidak stabil. Semuanya kerana perubahan yang berlaku atas dirinya dan tanggungjawab yang datang sejurus sahaja dia melahirkan anaknya. Sama-samalah membantu isteri melalui saat-saat yang sukar ini.

Terima kasih atas suamiku yang banyak membantu aku dalam tempoh ini. Sokongan mu amat-amat aku hargai. Bantuan mu dan sokongan mu amat-amat aku sanjungi. Terima kasih abang...

Friday, January 16, 2009

Saat Kelahiran

Aku ceritakan kembali saat-saat aku melahirkan bayi ku Afnan Mujahid. Hari itu 28hb September bersamaan 28 Ramadhan. Aku sudah berada di kampung. Bercuti untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri. Pagi itu aku masih berasa segar. Tiada terasa sebarang contraction. Cuma sewaktu bersahur, aku merasakan seolah-olah ada air yang keluar. Bergegas aku ketandas untuk memastikannya. Semua yang sedang bersahur menjadi risau apabila melihat aku bangun dengan tergesa-gesa. Selepas aku keluar dari bilik air, aku berkata sambil tersenyum "Tak de apa-apa. Ingatkan ada air yang keluar tadi". Suami ku dah mula risau. Dia suruh aku memastikannya dengan betul. Yang keluar hanya lendir. Tetapi dalam kadar yang agak banyak. Hari itu aku masih berpuasa seperti biasa. Dan untuk menu berbuka aku dan adik beradik ku meminta ayah untuk masakkan sup tulang dan mee goreng.

Hari itu berjalan seperti biasa. Tengah hari itu adik beradikku keluar membeli belah bersama keluarga bapa saudara kami. Aku tidak dibenarkan untuk ikut bersama. Aku tak kisah, tambahan pula aku sememangnya tidak larat untuk berjalan dan berdiri dalam kadar yang lama. Lebih kurang pukul 2 petang mereka pulang. Ketika itu aku sedang tidur kerana terasa sakit belakang. Kemudian aku bangun dan turut sama membelek barang yang mereka beli. Seronoknya dapat bershopping raya. Tahun itu aku tidak mempunyai baju raya. Kerana aku tidak tahu bila saat aku akan melahirkan anakku ini. Jika mengikut due date, 10 oktober 2008. Ntahlah.

Ketika berbual-bual, belakang ku terasa sengal-sengal dan lenguh. Aku sekadar diam sahaja. Kemudian aku masuk kebilik untuk bersolat. Sebelum itu sempat aku berguarau dengan kakak ku "Cepat long solat, kak ngah nak solat pulak ni. Kang takut tak sempat solat". Selesai solat aku minta suami ku mengurut belakang ku. Belakang ku terasa lenguh sangat.

Sambil aku baring mengiring, suami ku mengurut belakangku. Jam menunjukkan lebih kurang pukul 4.30 ptg. ketika itu adik beradikku yang lain sedang sibuk untuk membuat persiapan berbuka. Sedang aku berbaring, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil 'pop' dari perutku dan serentak dengan itu aku terasa kandunganku jatuh dan air ketuban memancut keluar. Aku terus memegang perutu sambil mengerang kesakitan. Suamiku bergegas mengambil air selusuh untuk memberi aku minum. Sambil itu dia menjerit kepada adikku "cepat! kita bawak k.ngah ke hospital. Kak ngah dah nak bersalin!". Kemudian kedengaran pula kakak ku menjerit "Telefon ambulan cepat!!". Keadaan ketika itu benar-benar cemas. Tambahan pula ini adalah pengalaman pertama keluarga kami untuk menerima keliharan bayi (ini adalah cucu sulung dalam keluargaku).

Tidak lama kemudian, ambulans sampai dan 2 orang jururawat masuk kebilik. Menurut jururawat tersebut bukaan ku baru 5cm. Masih ada 5 jam! (1cm = 1 jam). Jadi bagi mereka tak perlu bergegas. Tetapi sakit yang aku rasakan tidak dapat tertahan. Aku dibawa menaiki ambulan dan terus dibawa ke bilik bersalin. Ketika didalam bilik bersalin, mereka menukar pakaianku dan memasang sejenis alat diperutku untuk mengesan denyutan jantung bayi. Dan mereka memberikan aku segelas milo bagi membekalkan aku tenaga untuk tujuan meneran. Sakit yang aku rasa semakin teruk. Tidak tertahan rasanya. Seluruh tubuhku menjadi ketar. Aku diminta untuk mengiring bagi mempercepatkan proses kelahiran.

Tidak lama kemudian, datang jururawat untuk memeriksa bukaan ku. dan aku katakan padanya yang aku sudah terasa untuk meneran. Dia nampak terkejut kerana bukaan ku sudah 9cm. Terus dia meminta untuk memanggil suamiku masuk. Hampir 20 minit aku meneran tetapi tidak berjaya. Aku sudah tidak bertenaga (tiada makanan yang dapat memberi aku tenaga kerana aku berpuasa). Jururawat meminta untuk aku terus meneran kerana ketika itu bayi ku sudah tidak bergerak. Jauh disudut hati, aku berdoa kepada Allah supaya memberi aku kekuatan. Dan aku yakin Allah akan membantu ku. Bagi cubaan yang terakhir, aku meneran dengan sekuat hati ku dan seorang jururawat membantu ku dengan menolak perut ku dari atas. Tepat jam 6.24, keluarlah bayi lelaki dengan berat 2.65 kilo. Keluarnya disambut tangisan dan syukur Alhamdulillah. Kemudian suamiku terus mengucup dahi ku... Mengalir airmata ku. saat ini aku telah bergelar ibu. Terima kasih ya Allah.

Sepanjang proses kelahiran, tiada putus zikirku dan doaku pada Allah... Alhamdulillah Allah permudahkan aku. Proses kelahiran bayi ku hanya mengambil masa 2 jam. Bermula sakit pada pukul 4.30 dan aku melahirkan pada pukul 6.24. Terima kasih Ya Allah. Mungkin berkat ramadhan dan doa yang dipanjatkan.

P/s: Doa selusuh amat berguna untuk dibaca berulang kali ketika proses kelahiran.

Wednesday, January 7, 2009

Nasib....

Setiap yang bergelar insan
mempunyai coretan hidup yang tersendiri
Semuanya telah ditentukan..
Berlaku tanpa dijangka
Menerima tanpa diduga
Tersembunyi dari pengetahuan
Itulah ketentuan Tuhan.

Ada yang indah diawalan
Mendung di pertengahan
Kembali ceria di penghujung jalan

Ada yang sepanjang jalannya derita
Dipenuhi onak dan duka....
remuk hati tidak terkata

Perjalanan kita mungkin masih jauh
Atau mungkin juga sudah hampir ke hujungnya
Segalanya terselindung dari pengetahuan kita

Di kala ini..........
Tidak dijangka hidup akan jadi begini
Tidak disangka nasib akan begini
Pelbagai warna dan garis
Coretannya berkajang
Ada suka ada duka

Ya Allah... Benarlah hidup tidak boleh diduga....
Tapi yang pasti...
Lukisan hari ini
Penentu hari esok...

Ya Allah.... ampunkan dosa-dosa ku yang lalu. Engkau indahkanlah hidup ku.... Semoga ceria dipenghujung ku...
Afnan Mujahid ketika berusia kurang dari seminggu....






Ya Allah ya tuhanku... bantulah aku dalam mendidik anakku ini.....

Tahun Baru

Alhamdulillah... diri masih diberi peluang untuk bernafas dibumi ini bagi melangkah ke tahun yang baru. Tahun baru, tapi orangnya masih lama dan semakin bertambah usia ;-) Baru hari ini diberi kesempatan untuk mencoret kembali diblog ini. Rindu rasanya.

Sekarang sudah bertambah ahli baru. Afnan Mujahid B Mohd Khairul Azmi. Permata hatiku. Semoga diberi Allah rezeki agar dia benar-benar menjadi pejuang agama.... Sekarang aku telah bergelar Ummi... UMMI MUJAHID...

Mengharungi hidup sebagai seorang ummi benar-benar mencabar. Menguji setiap penjuru rasa dan emosi. Berpadananlah mengapa Allah mengangkat darjat wanita yang bergelar ibu. Alhamdulillah dapat aku merasa menjadi ibu didunia ini. Terima kasih ya Allah atas anugerah yang engkau berikan...........

Tabahkan hatiku... rahmati diriku...