Pages

Friday, June 25, 2010

UMMI MUJAHID KEMBALI

Salam buat semua. Mohon maaf kerana terlalu lama mendiamkan diri tanpa sebarang entri. Untuk pengetahuan, saya banyak mengemaskini blog saya ceritaku asn. Untuk sebarang kisah terkini anda boleh layari blog yang satu lagi.

Untuk pengetahuan, ummi sekarang sudah punya 2 mujahid. Afnan Mujahid & Aiman Mujahid. Afnan pun dah berumur 1 tahun 8 bulan. Aiman pula baru masuk 5 bulan. Ummi doakan semoga anak ummi akan menjadi anak-anak yang soleh dan sentiasa dirahmati dan diredhai oleh-Nya.

Ummi sayang kalian berdua....

Tuesday, December 15, 2009

Jaundis / Demam kuning / Jaundice

Sebentar tadi saya berfacebook dengan saeorang sahabat. Masing-masing menceritakan pengalaman bersalin. Menurut sahabat saya, untuk kelahiran anaknya yang pertama, bayinya menghidap jaundis atau demam kuning pada tahap yang agak teruk. Katanya juga, menurut misi (jururawat) ia adalah normal bagi ibu yang berdarah O untuk anaknya mengidap jaundis. Benarkah kenyataan tersebut?! Mungkin ada benarnya. Saya sendiri kurang arif dalam hal perubatan.

Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya yang sedikit ini, faktor pemakanan ibu semasa mengandung lagi sudah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini. Berikut saya sertakan beberapa panduan dalam usaha mengelakkan bayi kita dihidapi jaundis. Saya mengikuti kebanyakan panduan-panduan dibawah. Alhamdulillah Afnan Mujahid tidak menghidapi jaundis semasa kecilnya dan saya berdarah O;

1. Banyakkan makan makanan laut semasa mengandung.

- Ini adalah berdasarkan nasihat salah seorang sahabat saya. Dan saya mengikutinya untuk kelahiran pertama saya. Tetapi untuk kendungan kedua ini jarang saya mengambil makanan laut.

2. Jangan sesekali mengambil jamu atau makanan yang mempunyai / mengandungi lada hitam bermula hari pertama kelahiran sehingga hari ke-15.

- Semua makanan tersebut boleh menyumbang kepada jaundis. Makanan tersebut akan disalurkan kepada anak menerusi susu ibu.

3. Hindarkan bayi daripada tidur yang kerap diwaktu siang.

- Bayi yang tidak aktif juga penyumbang kepada jaundis. Sentiasa kejutkan bayi dan susukannya.

4. Pastikan bayi kerap buang air kecil dan besar.

- Bayi perlu kerap buang air kecil dan besar bagi mengelak jaundis. Menurut jururawat yang merawat saya ketika berpantang, bayi perlu sentiasa buang air. Kekerapan dia membuang air membantu mengelakkan jaundis kerana kuman / sebarang penyebab jaundis tersebut akan keluar melalui perkumuhan. Ini bermaksud, kerap susukan bayi supaya dia kerap membuang air.

Untuk Afnan Mujahid yang lalu, saya benar-benar memastikan dia kerap minum dan sentiasa buang air. Saya juga tidak menyentuh langsung makanan yang mengandungi lada hitam. Set bersalin juga saya mulakan setelah 15 hari berpantang. Alhamdulillah Afnan Mujahid tidak menghidap jaundis. Walaubagaimanapun, untuk kandungan yang kedua ini agak membimbangkan saya. Saya kerap makan jeruk semasa awal kehamilan. Ia turut dikatakan boleh menyumbang kepada demam kuning. Saya mohon kepada Allah supaya dijauhkan penyakit tersebut daripada anak yang bakal dilahirkan ini.

Berdasarkan petua yang saya dengar, bagi bayi yang menghidapi jaundis hendaklah dibawa berjemur pada waktu pagi bagi mengubati sakitnya. Dan terdapat juga petua yang lain. InsyaAllah sekiranya saya ingat dan mendapat sebarang maklumat berkenaan petua-petua tersebut, akan saya postkan kedalam blog ini.

Sememangnya kita mengharapkan yang terbaik buat anak kita...

Monday, December 14, 2009

Saat menunggu; 35 minggu

Sekarang saya sedang mengandungkan adik Afnan Mujahid. Alhamdulillah rezeki Allah bagi. Hari ini genap usia kandungan 35 minggu. Rasa kebas kaki, sakit pinggang semua ada. Sakit kaki sehingga menyukarkan berjalan juga turut dialami sepertimana saya mengandungkan Afnan dahulu. Tetapi kali ini sakitnya lebih kerap. Sepanjang menghadapi minggu-minggu akhir ini, saya telah mendapatkan mc selama 4 hari. Sakitnya tuhan sahaja yang tahu. Betapa sukarnya saya untuk berbaring, mengiring kekiri & kekanan. Pernah selama beberapa malam saya tidak mampu untuk mengalihkan badan. Berbaring / tidur tegak tanpa beralih kemana. Hampir saya menangis menahan sakit. Sekarang, sekiranya saya ingin bangun dari berbaring pun kekadang perlukan bantuan dari suami.

Inilah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi untuk mendapatkan cahaya mata yang ke-2. Mengikut kata doktor, anak ke-2 ku ini juga adalah lelaki. Nampaknya seorang lagi mujahid yang bakal lahir. Apa pun alhamdulillah. Saya mengharapkan agar semuanya selamat dan semoga Allah permudahkan diri ku sepertimana dia permudahkan aku semasa melahirkan Afnan Mujahid. Ameeennnnn

Wednesday, December 9, 2009

Afnan Mujahid 1 tahun 2 bulan 1 minggu 4 hari

Lama benar saya tidak menjengah blog ini. Afnan Mujahid pun sudah genap umurnya 1 tahun 2 bulan 1 minggu & 4 hari. Kini dia sudah pandai berjalan. Dia mampu berjalan jatuh pada 7 November 2009 yang lepas. Hati amat gembira apabila melihat dia mampu berjalan sendiri. Bersempena Afnan genap setahun, kami telah buatkan untuknya photo book yang memuatkan koleksi gambar-gambarnya semenjak dia dilahirkan sehingga sekarang.

Baru-baru ini dia demam, cirit-birit dan muntah-muntah. Kami membawanya ke klinik Shanaliza. Doc memberinya paracetamol (ubat sumbat) + ubat titis (minum) jenama bio life. Kemudian kami belikan dia susu Novolec rumusan untuk bayi cirit-birit. Alhamdulillah sekarang dia sudah aktif seperti biasa.

walaubagaimanapun, dari kecil sehingga sekarang dia mempunyai masalah untuk membuang air besar. Setiap kali dia mahu membuang air besar pasti dia menangis semahunya. Dan kerap kali dia sembelit. Pernah kami ajukan masalah ini kepada doktor. Tetapi menurutnya, Afnan mungkin mengalami masalah kekurangan air yang menyebabkan dia sembelit.

Afnan Mujahid permata ummi dan abah...

Tuesday, July 14, 2009

Chicken Pox

Pada awal bulan jun yang lepas, Afnan Mujahid dijangkiti chicken pox. Berjangkit di nursery. Rasa geram dan terkilan juga dengan nursery tu. Sekarang dah ramai bebudak di nursery tu dijangkiti virus tersebut. Kesian sangat bila saya lihat keadaan Afnan. Badannya dipenuhi dengan biji-biji air. Waktu malam dia kerap menangis dan berjaga. Dia menggaru kepala dia semahu yang mungkin.

Untuk pengetahuan, chicken pox adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia boleh berjangkit. Sekiranya anak-anak terdapat tanda2 jangkitan, cepatlah bertemu doktor untuk mendapat rawatan segera. Antara tanda2; demam, timbul biji-biji berair yang besar. Sekiranya biji tersebut kecil, ia mungkin campak.

Jika mengikut kaedah tradisional;

1. Gunakan daun mambu untuk mengurangkan rasa miang. (Buat alas tidur & garu menggunakan daun tersebut) - daun ini boleh didapati dirumah2 orang india.

2. Dilarang mandi. Kalau nak mandi pun jangan lap atau menggosok badan.

3. Setelah lebih kurang 4 atau 5 hari, minum air kelapa.

4. Setelah biji2 tersebut kering, ambil segenggam beras, basuh dan rendamkan untuk beberapa minit. Kemudian sapukan airnya ke seluruh badan.

5. Dilarang memakan makanan yang boleh mendatangkan gatal. (telur, sardin, ikan kembung, makanan berminyak etc)

6. Dilarang menumis sebarang masakan.

Untuk Afnan mujahid, saya ada mengikut beberapa petua diatas. Saya tidak memandikan dia sejak dia di sahkan chicken pox. Dan kami juga membeli makanan diluar sepanjang dia sakit. Atas nasihat bapa mertua, dia meminta kami untuk mencari air penawar. Oleh itu, kami telah ke kajang untuk bertemu seorang ustaz bagi mendapatkan air penawar. Ustz juga telah membantu dengan menarik bisa-bisa yang ada dibadan Afnan. Alhamdulillah sangat-sangat, apabila bagun dari tidur keesokan harinya, semua biji2 tersebut telah kering. Lega hati saya. Dibawah ini saya sertakan wajah-wajah Afnan Mujahid ketika chicken pox;





9 Bulan

Salam...

Sudah terlalu lama tidak menjengah atau mencoretkan apa-apa di ruangan ini. Afnan Mujahid pun sudah berusia 9 bln. Hujung bulan ni dia genap 10 bulan. Dia dah pandai duduk. Hari tu.. pernah dia bagun dari baring dan duduk sendiri! terkejut ummi dah abah. Afnan sendiri pun terkejut. Sekali tu je lah dia boleh buat sendiri. Lepas-lepas tu semua minta pertolongan ummi.

Sekarang pun dia semakin manja dengan ummi. Pantang hilang ummi mesti nak nangis. Tidur pun berhimpit ngan ummi. Sayang Afnan. Alhamdulillah sekarang dia sudah pun sembuh sepenuhnya dari chicken pox.



Seronok Afnan dah boleh duduk

Sunday, April 19, 2009

Demam

Hari Rabu yang lepas, 15 April 2009, ummi rasa badan Afnan panas daripada biasa. Afnan pun kerap muntah. Malam itu, ummi, abah dan nenek terus membawa Afnan ke Klinik (Pakar kanak-kanak Shanaliza). Semasa diklinik pun Afnan muntah atas ummi. Doktor kata Afnan demam. Tekak Afnan ada tonsil. Doktor beri Afnan ubat demam dan antibiotik.

Keesokan harinya, semasa ummi sedang bekerja di pejabat, ummi telah menerima panggilan daripada nenek mengatakan Afnan menangis tanpa henti. Bergegas ummi pulang kerumah. Sampai dirumah, ummi lihat Afnan terbaring tidak bermaya. Terdapat bintik-bintik merah pada seluruh badan Afnan. Ummi telefon abah disekolah minta abah balik untuk bawa Afnan keklinik semula(Klinik Mesra). Diklinik, doktor kata Afnan mungkin alergi dengan antibiotik. Dia minta supaya ummi berhenti memberi antibiotik. Dalam masa yang sama, nenek menyuruh ummi memberikan Afnan air kelapa. Nenek kata kemungkinan campak.

Tetapi, esoknya bintik merah tersebut makin banyak timbul. Badan Afnan pun semakin lemah dan panas. Sedih ummi dan abah melihatkan keadaan Afnan. Pada hari tersebut pun ummi balik kerja awal. Dan malam itu ummi dan abah membawa Afnan ke klinik lain (Pusrawi). Doktor buat pemeriksaan keatas Afnan. Doktor kata, bintik tersebut kelihatan seperti simptom denggi. Ummi agak terkejut dan berharap ia bukanlah seperti yang doktor katakan. Darah Afnan diambil untuk diuji. Alhamdulillah segala telahan tersebut tidak benar. Doktor minta untuk membawa Afnan semula selepas 2 hari sekiranya bintik tersebut semakin banyak dan demam Afnan tidak kebah. Dan ummi masih memberi Afnan air kelapa. Menurut doktor, dalam keadaan Afnan sekarang, Afnan akan kerap cirit. Sememangnya Afnan kerap cirit. Dalam sehari Afnan akan buang air besar 2 - 3 kali. Doktor menasihatkan ummi untuk mengurangkan kandungan susu dan melebihkan air untuk Afnan.

Alhamdulillah, hari ini Afnan telah kembali aktif. Badan Afnan pun sudah tidak sepanas hari sebelumnya. Tetapi bintik merah tersebut masih ada dan kelihatan semakin banyak. Ummi sendiri tidak pasti samaada ia benar-benar campak ataupun tidak. Sekiranya betul, kenapa doktor tidak menyatakannya?

Ummi harap Afnan akan terus sembuh, sihat dan aktif seperti biasa. Ameeeennnnn