Pages

Tuesday, December 15, 2009

Jaundis / Demam kuning / Jaundice

Sebentar tadi saya berfacebook dengan saeorang sahabat. Masing-masing menceritakan pengalaman bersalin. Menurut sahabat saya, untuk kelahiran anaknya yang pertama, bayinya menghidap jaundis atau demam kuning pada tahap yang agak teruk. Katanya juga, menurut misi (jururawat) ia adalah normal bagi ibu yang berdarah O untuk anaknya mengidap jaundis. Benarkah kenyataan tersebut?! Mungkin ada benarnya. Saya sendiri kurang arif dalam hal perubatan.

Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya yang sedikit ini, faktor pemakanan ibu semasa mengandung lagi sudah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini. Berikut saya sertakan beberapa panduan dalam usaha mengelakkan bayi kita dihidapi jaundis. Saya mengikuti kebanyakan panduan-panduan dibawah. Alhamdulillah Afnan Mujahid tidak menghidapi jaundis semasa kecilnya dan saya berdarah O;

1. Banyakkan makan makanan laut semasa mengandung.

- Ini adalah berdasarkan nasihat salah seorang sahabat saya. Dan saya mengikutinya untuk kelahiran pertama saya. Tetapi untuk kendungan kedua ini jarang saya mengambil makanan laut.

2. Jangan sesekali mengambil jamu atau makanan yang mempunyai / mengandungi lada hitam bermula hari pertama kelahiran sehingga hari ke-15.

- Semua makanan tersebut boleh menyumbang kepada jaundis. Makanan tersebut akan disalurkan kepada anak menerusi susu ibu.

3. Hindarkan bayi daripada tidur yang kerap diwaktu siang.

- Bayi yang tidak aktif juga penyumbang kepada jaundis. Sentiasa kejutkan bayi dan susukannya.

4. Pastikan bayi kerap buang air kecil dan besar.

- Bayi perlu kerap buang air kecil dan besar bagi mengelak jaundis. Menurut jururawat yang merawat saya ketika berpantang, bayi perlu sentiasa buang air. Kekerapan dia membuang air membantu mengelakkan jaundis kerana kuman / sebarang penyebab jaundis tersebut akan keluar melalui perkumuhan. Ini bermaksud, kerap susukan bayi supaya dia kerap membuang air.

Untuk Afnan Mujahid yang lalu, saya benar-benar memastikan dia kerap minum dan sentiasa buang air. Saya juga tidak menyentuh langsung makanan yang mengandungi lada hitam. Set bersalin juga saya mulakan setelah 15 hari berpantang. Alhamdulillah Afnan Mujahid tidak menghidap jaundis. Walaubagaimanapun, untuk kandungan yang kedua ini agak membimbangkan saya. Saya kerap makan jeruk semasa awal kehamilan. Ia turut dikatakan boleh menyumbang kepada demam kuning. Saya mohon kepada Allah supaya dijauhkan penyakit tersebut daripada anak yang bakal dilahirkan ini.

Berdasarkan petua yang saya dengar, bagi bayi yang menghidapi jaundis hendaklah dibawa berjemur pada waktu pagi bagi mengubati sakitnya. Dan terdapat juga petua yang lain. InsyaAllah sekiranya saya ingat dan mendapat sebarang maklumat berkenaan petua-petua tersebut, akan saya postkan kedalam blog ini.

Sememangnya kita mengharapkan yang terbaik buat anak kita...

Monday, December 14, 2009

Saat menunggu; 35 minggu

Sekarang saya sedang mengandungkan adik Afnan Mujahid. Alhamdulillah rezeki Allah bagi. Hari ini genap usia kandungan 35 minggu. Rasa kebas kaki, sakit pinggang semua ada. Sakit kaki sehingga menyukarkan berjalan juga turut dialami sepertimana saya mengandungkan Afnan dahulu. Tetapi kali ini sakitnya lebih kerap. Sepanjang menghadapi minggu-minggu akhir ini, saya telah mendapatkan mc selama 4 hari. Sakitnya tuhan sahaja yang tahu. Betapa sukarnya saya untuk berbaring, mengiring kekiri & kekanan. Pernah selama beberapa malam saya tidak mampu untuk mengalihkan badan. Berbaring / tidur tegak tanpa beralih kemana. Hampir saya menangis menahan sakit. Sekarang, sekiranya saya ingin bangun dari berbaring pun kekadang perlukan bantuan dari suami.

Inilah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi untuk mendapatkan cahaya mata yang ke-2. Mengikut kata doktor, anak ke-2 ku ini juga adalah lelaki. Nampaknya seorang lagi mujahid yang bakal lahir. Apa pun alhamdulillah. Saya mengharapkan agar semuanya selamat dan semoga Allah permudahkan diri ku sepertimana dia permudahkan aku semasa melahirkan Afnan Mujahid. Ameeennnnn

Wednesday, December 9, 2009

Afnan Mujahid 1 tahun 2 bulan 1 minggu 4 hari

Lama benar saya tidak menjengah blog ini. Afnan Mujahid pun sudah genap umurnya 1 tahun 2 bulan 1 minggu & 4 hari. Kini dia sudah pandai berjalan. Dia mampu berjalan jatuh pada 7 November 2009 yang lepas. Hati amat gembira apabila melihat dia mampu berjalan sendiri. Bersempena Afnan genap setahun, kami telah buatkan untuknya photo book yang memuatkan koleksi gambar-gambarnya semenjak dia dilahirkan sehingga sekarang.

Baru-baru ini dia demam, cirit-birit dan muntah-muntah. Kami membawanya ke klinik Shanaliza. Doc memberinya paracetamol (ubat sumbat) + ubat titis (minum) jenama bio life. Kemudian kami belikan dia susu Novolec rumusan untuk bayi cirit-birit. Alhamdulillah sekarang dia sudah aktif seperti biasa.

walaubagaimanapun, dari kecil sehingga sekarang dia mempunyai masalah untuk membuang air besar. Setiap kali dia mahu membuang air besar pasti dia menangis semahunya. Dan kerap kali dia sembelit. Pernah kami ajukan masalah ini kepada doktor. Tetapi menurutnya, Afnan mungkin mengalami masalah kekurangan air yang menyebabkan dia sembelit.

Afnan Mujahid permata ummi dan abah...

Tuesday, July 14, 2009

Chicken Pox

Pada awal bulan jun yang lepas, Afnan Mujahid dijangkiti chicken pox. Berjangkit di nursery. Rasa geram dan terkilan juga dengan nursery tu. Sekarang dah ramai bebudak di nursery tu dijangkiti virus tersebut. Kesian sangat bila saya lihat keadaan Afnan. Badannya dipenuhi dengan biji-biji air. Waktu malam dia kerap menangis dan berjaga. Dia menggaru kepala dia semahu yang mungkin.

Untuk pengetahuan, chicken pox adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia boleh berjangkit. Sekiranya anak-anak terdapat tanda2 jangkitan, cepatlah bertemu doktor untuk mendapat rawatan segera. Antara tanda2; demam, timbul biji-biji berair yang besar. Sekiranya biji tersebut kecil, ia mungkin campak.

Jika mengikut kaedah tradisional;

1. Gunakan daun mambu untuk mengurangkan rasa miang. (Buat alas tidur & garu menggunakan daun tersebut) - daun ini boleh didapati dirumah2 orang india.

2. Dilarang mandi. Kalau nak mandi pun jangan lap atau menggosok badan.

3. Setelah lebih kurang 4 atau 5 hari, minum air kelapa.

4. Setelah biji2 tersebut kering, ambil segenggam beras, basuh dan rendamkan untuk beberapa minit. Kemudian sapukan airnya ke seluruh badan.

5. Dilarang memakan makanan yang boleh mendatangkan gatal. (telur, sardin, ikan kembung, makanan berminyak etc)

6. Dilarang menumis sebarang masakan.

Untuk Afnan mujahid, saya ada mengikut beberapa petua diatas. Saya tidak memandikan dia sejak dia di sahkan chicken pox. Dan kami juga membeli makanan diluar sepanjang dia sakit. Atas nasihat bapa mertua, dia meminta kami untuk mencari air penawar. Oleh itu, kami telah ke kajang untuk bertemu seorang ustaz bagi mendapatkan air penawar. Ustz juga telah membantu dengan menarik bisa-bisa yang ada dibadan Afnan. Alhamdulillah sangat-sangat, apabila bagun dari tidur keesokan harinya, semua biji2 tersebut telah kering. Lega hati saya. Dibawah ini saya sertakan wajah-wajah Afnan Mujahid ketika chicken pox;





9 Bulan

Salam...

Sudah terlalu lama tidak menjengah atau mencoretkan apa-apa di ruangan ini. Afnan Mujahid pun sudah berusia 9 bln. Hujung bulan ni dia genap 10 bulan. Dia dah pandai duduk. Hari tu.. pernah dia bagun dari baring dan duduk sendiri! terkejut ummi dah abah. Afnan sendiri pun terkejut. Sekali tu je lah dia boleh buat sendiri. Lepas-lepas tu semua minta pertolongan ummi.

Sekarang pun dia semakin manja dengan ummi. Pantang hilang ummi mesti nak nangis. Tidur pun berhimpit ngan ummi. Sayang Afnan. Alhamdulillah sekarang dia sudah pun sembuh sepenuhnya dari chicken pox.



Seronok Afnan dah boleh duduk

Sunday, April 19, 2009

Demam

Hari Rabu yang lepas, 15 April 2009, ummi rasa badan Afnan panas daripada biasa. Afnan pun kerap muntah. Malam itu, ummi, abah dan nenek terus membawa Afnan ke Klinik (Pakar kanak-kanak Shanaliza). Semasa diklinik pun Afnan muntah atas ummi. Doktor kata Afnan demam. Tekak Afnan ada tonsil. Doktor beri Afnan ubat demam dan antibiotik.

Keesokan harinya, semasa ummi sedang bekerja di pejabat, ummi telah menerima panggilan daripada nenek mengatakan Afnan menangis tanpa henti. Bergegas ummi pulang kerumah. Sampai dirumah, ummi lihat Afnan terbaring tidak bermaya. Terdapat bintik-bintik merah pada seluruh badan Afnan. Ummi telefon abah disekolah minta abah balik untuk bawa Afnan keklinik semula(Klinik Mesra). Diklinik, doktor kata Afnan mungkin alergi dengan antibiotik. Dia minta supaya ummi berhenti memberi antibiotik. Dalam masa yang sama, nenek menyuruh ummi memberikan Afnan air kelapa. Nenek kata kemungkinan campak.

Tetapi, esoknya bintik merah tersebut makin banyak timbul. Badan Afnan pun semakin lemah dan panas. Sedih ummi dan abah melihatkan keadaan Afnan. Pada hari tersebut pun ummi balik kerja awal. Dan malam itu ummi dan abah membawa Afnan ke klinik lain (Pusrawi). Doktor buat pemeriksaan keatas Afnan. Doktor kata, bintik tersebut kelihatan seperti simptom denggi. Ummi agak terkejut dan berharap ia bukanlah seperti yang doktor katakan. Darah Afnan diambil untuk diuji. Alhamdulillah segala telahan tersebut tidak benar. Doktor minta untuk membawa Afnan semula selepas 2 hari sekiranya bintik tersebut semakin banyak dan demam Afnan tidak kebah. Dan ummi masih memberi Afnan air kelapa. Menurut doktor, dalam keadaan Afnan sekarang, Afnan akan kerap cirit. Sememangnya Afnan kerap cirit. Dalam sehari Afnan akan buang air besar 2 - 3 kali. Doktor menasihatkan ummi untuk mengurangkan kandungan susu dan melebihkan air untuk Afnan.

Alhamdulillah, hari ini Afnan telah kembali aktif. Badan Afnan pun sudah tidak sepanas hari sebelumnya. Tetapi bintik merah tersebut masih ada dan kelihatan semakin banyak. Ummi sendiri tidak pasti samaada ia benar-benar campak ataupun tidak. Sekiranya betul, kenapa doktor tidak menyatakannya?

Ummi harap Afnan akan terus sembuh, sihat dan aktif seperti biasa. Ameeeennnnn

6 bulan 3 minggu

Salam, lama tidak menjengah dan menulis sebarang entri disini. Sekarang Afnan Mujahid sudah berusia 6 bln 3 minggu. Seronok tenggok anak ummi membesar. Anak ummi dah boleh makan. Tapi ummi tak beri banyak. Sebab anak ummi pun baru nak mula makan. Sekarang anak ummi pun dah boleh meniarap. Afnan suka berguling. Tidur pun dah buas. Ummi perlu letak penghadang di keliling Afnan. Bimbang Afnan berguling jatuh dari tilam ketika tidur. 4mmi ingat lai, abah berniat untuk berpuasa sekiranya Afnan dapat meniarap sebelum kita balik Perak. Alhamdulillah, beberapa hari sebelum kita balik Afnan meniarap. Sekarang ummi nak tunggu Afnan pandai merangkak pula. Tak sabar rasanya ;-)

Thursday, February 5, 2009

Afnan Mujahid 4 bulan

Kini usia Afnan Mujahid adalah 4 bln 1 minggu dan 1 hari. Dia masih belum pandaimeniarap sendiri. Tetapi dia dah mula gelak berdekah. Seronok dengar dia gelak. Hanya mereka yang pandai sahaja yang boleh buat dia tergelak. Bukan calang-calang orang! Dia masih mempunyai masalah kembung perut. Dan dia juga masih mudah meragam. Seringkali dia mengamuk. Risau aku melihatnya. Dia selalu meragam sewaktu dia ingin tidur. Selalunya dia akan tidur dalam tangisan. Kesian Afnan Mujahid. Berikut adalah gambar terbaru Afnan Mujahid;

Kenapa Sedih anak ummi ni?


Masamnya muka


Seronok ya?

Ummi sayang Afnan Mujahid... mmmmmmuuuuaaaahhhh

Wednesday, February 4, 2009

Saat Aku Menyusukan

Nikmatnya menjadi seorang ibu adalah saat apabila kita menyusukan bayi. Terasa keindahannya dan eratnya ikatan yang terjalin. Lahir perasaan kasih sayang yang tidak terhingga kepadanya. Malangnya.... saat itu datang hanya sebentar kepada ku. Aku hanya dapat merasai nikmat menyusukan selama 1 bulan yang pertama sahaja.

Keadaan ini berlaku akibat daripada kesihatan ku yang kurang memuaskan semasa dalam tempoh berpantang. Aku terlalu lama terlantar sakit. Aku tidak boleh duduk dalam kadar yang lama. Aku juga tidak boleh baring mengiring. Ini menyukarkan aku untuk menyusukan anakku. Ditambah pula aku mempunyai masalah flat or inverted nipple. Jadi aku memberikannya susu formula. Pada awalnya, aku sulamkan juga dengan susu badan. Malangnya anakku sudah mengalami masalah keliru puting. Dia tidak mahu lagi menyusu badan. Dia lebih gemar menyusu botol. Aku sekadar pamkan susuku dan memberi dia minum menggunakan botol.

Akhirnya, susuku semakin kurang dan kini pada umur Afnan Mujahid 4 bulan aku sudah tidak mempunyai susu. Apa yang aku kesali adalah... kurangnya ilmu aku mengenai penyusuan. Ia membuatkan aku panik dan mudah putus asa dalam berhadapan dengan masalah ini. Kini aku merasakan yang aku mempunyai kekurangan.

kini aku nekad mencari sumber untuk menambah ilmu ku dan juga untuk dijadikan panduan kepada mereka yang lain.

(Aku juga salah dalam pemilihan breastpump...)

Monday, February 2, 2009

Masalah Puting Datar / Tenggelam

Bagaimana untuk mengetahui jika saya mengalami masalah ini?

Caranya mudah, picit bahagian areola (kira-kira 2.5 sentimeter atau satu inci dari puting) perlahan-lahan. Jika puting keluar, bermakna anda hanya perlu memberi rangsangan sebelum menyusukan anak.

Sebaliknya jika puting tidak keluar, anda mungkin mengalami masalah ini.

Adakah cara untuk merangsang supaya puting keluar?

Beberapa cara boleh digunakan untuk merangsang puting keluar:

1. Nipplet
Pam khas ini perlu diletakkan di atas bahagian puting dan tarik pam perlahan-lahan diikuti urutan untuk melembutkan puting. Kaedah ini perlu dilakukan setiap kali sebelum menyusukan bayi.

2. Urutan
Selain itu, mereka boleh memberi rangsangan kepada puting dengan memicit bahagian areola setiap kali ketika mandi. Buat selama satu dua minit. Pada masa sama letakkan kain lembap atau disejukkan dengan ais untuk meningkatkan rangsangan. Kaedah ini boleh mengatasi masalah puting terbenam secara perlahan-lahan dan wanita tidak perlu lagi bergantung kepada nipplet.

3. Pam Payudara
Wanita juga boleh menggunakan pam payu dara untuk merangsang puting sejurus sebelum menyusukan anak. Ia bukan saja dapat mengelak masalah pengumpulan terlalu banyak susu, malah memudahkan bayi menyusu.

4. Breast shell
Ia juga turut dikenali sebagai cawan susu, cawan payu dara dan membentuk puting. Alat ini perlu dipakai bersama coli anda seawal trimester ketiga untuk beberapa jam dalam sehari. Sekiranya anda selesa, anda boleh meningkatkan jumlah waktu penggunaannya. Selepas bayi lahir, pakai alat ini 30 minit sebelum menyusukan bayi. Namun, jangan sesekali memakainya di waktu malam.

5. Teknik Hoffman
Letakkan ibu jari di atas puting. Tolak perlahan-lahan ke dalam tisu payu dara anda dan pada masa yang sama tarik ibu jari anda. Dengan itu, anda melakukan
regangan ke atas puting dan melonggarkannya. Jadi, puting mudah bergerak ke dalam dan ke luar. Lakukan teknik ini sekurang-kurangnya lima kali sehari.

6. Nipple shield
Teknik ini adalah langkah terakhir yang boleh lakukan jika cara-cara lain tidak menjadi. Caranya ialah anda menjadikan nipple shield sebagai pengganti puting anda yang tenggelam itu. Untuk mengelakkan bayi 揼ian攗ntuk menyusu menggunakan nipple shield, anda perlu mengalihkannya sebaik sahaja bayi melekap pada payudara anda.

oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN, Harian Metro

Posisi Menyusukan Bayi

Walaupun menyusu badan adalah proses yang semulajadi, hari-hari pertama, anda mungkin tetap merasa janggal. Jadi, cuba pelbagai cara untuk mendapatkan cara yang anda (dan bayi) selesa...

Posisi Dakapan / Cross Cradle

* Kedudukan ini biasanya digemari kebanyakan ibu baru.
* Jangan membongkokkan badan anda, tetapi angkat bayi anda kepada payudara anda.
* Untuk lebih memudahkan penyusuan, anda boleh meletakkan sebuah bantal kecil di atas pangku.

Posisi Football Hold

* Sangat sesuai untuk ibu bersalin dengan pembedahan.
* Sesuai untuk menyusukan dua bayi secara serentak.
* Cara ini juga antara penyelesaian untuk bayi yang suka hanya menghisap sebelah payudara sahaja.
* Untuk lebih memudahkan penyusuan, anda boleh meletakkan sebuah bantal kecil di atas pangku.

Posisi Baring

* Sesuai ketika malam atau ketika berehat.
* Gunakan bantal yang banyak untuk menyokong badan anda.
* Anda perlu berhati-hati terutamanya di waktu tidur supaya tidak terhimpit muka bayi.

Sumber:http://www.hamidarshat.com/smf/index.php?topic=1989.0

Teknik Menyusukan Bayi

kedudukan badan

Pastikan anda selesa. bayi perlu diampu dengan baik. Andaboleh duduk bersandar di atas katil dengan kepala bayi di atas lengan atau anda duduk bersandar di atas kerusi.
Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi anda sehingga susah ia mencapai puting untuk menyusu dan jangan terlalu membonkok sehingga terlalu rapat dengan bayi.
Gunakan bantal, kusyen atau bahan yang lembut untuk bersandar atau merehatkan kaki bagi menyokong anda dan bayi semasa penyusuan.

Cara memegang bayi

Kepala, tengkuk dan tubuh bayi dalam keadaan selari.
Muka bayi menghadap payudara, hidung bayi bertentangan puting payudara ibu.
bayi rapat dengan ibu(perut bertemu perut). Punggung, kepala dan bahu bayi diampu.

Cara memegang payudara

Cara yang betul adalah Pegangan C. Iaitu ibu jari di atas puting dan jari lain di bawah puting.
Cara yang salah adalah Pegangan Gunting iaitu ibu jari dan jari telunjuk di atas puting dan jari lain di bawah puting

Posisi Penyusuan

Posisi mendukung/buai.
Ibu duduk memangku bayi dengan lengan.
muka dan kepala bayi menghadap payudara.

Posisi mendakap/di sisi.
ibu duduk dengan badan bayi disokong sepanjang lengan dan kaki dibalut longgar
ibu memangku bahu bayi dan memegang kepala
pastikan runag mencukupi bagi bayi tanpa membongkokkan kepala ibu ke hadapan untuk menyusukannya

Posisi mendukung bersilang/bersilang buai
Bayi dipangku sepanjang lengan dan ibu juga boleh menukar pegangan bayi. Ibu juga boleh mengawal kepalanya.
Posisi ini sesuai untuk bayi pramatang yang sukar untuk melekap

Posisi baring
Bayi baring mengiring menghadap ibunya. Seluruh badannyamelekap dekat ibu. Posisi ini sesuai untuk ibu yang hendak berehat.

Penyusuan pasangan kembar
Bayi kembar boleh menyusu pada kedua-dua payudara pada masa serentak

Pelekapan

Cara yang betul menyusukan bayi

Sentuh bibir bayi, tunggu mulutnya terbuka luas
gerakkan badan bayi ke arah payudara
pastikan bayi mengambil lebih kawasan hitam payudara(areola)
pastikan bayi melekap dengan betul dan ampu sedikit payudara

Cara pelekapan yang betul

mulut bayi terbuka luas
dagunya mencecah payudara
bibir melekup keluar
pipi gelembung
payudara nampak penuh dan bulat
terdengar nada hisapan - hisap -telan-hisap-telan

Cara pelekapan yang salah

dagu bayi jauh
tidak banyak areola yang masuk ke dalam mulut bayi
dagu tidak menyentuh payudara
ibu rasa sakit
payudara bolehbengkak dan puting luka


Sumber:http://www.hamidarshat.com/smf/index.php?topic=1989.0

BOLEHKAH SEMUA WANITA MENYUSU?

Secara lumrahnya setiap wanita dikurniakan dengan kebolehan untuk menyusui bayinya. Dengan adanya keyakinan dan pengetahuan setiap wanita boleh melakukannya.

Saiz payudara tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan. Kekerapan bayi menghisap akan merangsang penghasilan susu ibu yang banyak, mengikut permintaan bayi. Masalah puting susu yang leper atau tenggelam juga tidak sepatutnya menjadi halangan. Mereka yang menghadapi masalah sebegini sebaiknya mendapatkan bantuan profesional yang boleh membantu mereka.

Persediaan Semasa Hamil

Tempoh kehamilan sebaiknya dipenuhi dengan aktiviti untuk mempelajari ilmu keibubapaan. Dapatkanlah dan baca sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu serta lain-lain aspek penjagaan anak. Jika berpeluang, hadiri kelas-kelas ibu mengandung bersama suami anda. Payudara anda biasanya membesar sedikit semasa hamil kerana pembesaran kelenjar-kelenjar susu. Untuk menampung payudara, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar biasanya diperlukan. Gunakan air biasa sahaja untuk mencuci payudara. Elakkan penggunaan sabun kerana ianya boleh mengeringkan kulit payudara.

Pastikan payudara diperiksa oleh doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai masalah di payudara.

Ikuti kelas atau ceramah mengenai penyusuan susu ibu yang terdapat di tempat anda. Ini boleh membantu anda mengetahui lebih mendalam mengenai penyusuan dengan susu ibu.

Pada bulan-bulan akhir, pelajari cara-cara memerah susu. Pengetahuan ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi, sekiranya perlu.

Selepas Melahirkan Bayi

Hari-hari pertama selepas kelahiran memang meletihkan. Kuatkan semangat dan susui bayi anda secepat mungkin selepas dilahirkan. Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman indah bagi seorang ibu.

Susui bayi anda dengan kerap mengikut permintaannya dan bukan mengikut jadual yang tertentu. Jika bayi anda lebih suka tidur, bangunkan dan galakkan dia menyusu lebih kurang setiap 2 jam.

Hari-hari pertama merupakan waktu-waktu yang penting. Payudara mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini sangat penting. Susu awal ibu tidak banyak tetapi ianya pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolosterum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolosterum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol atau air masak.

Buat permulaan, bayi anda mungkin akan menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlainan daripada bayi yang lain.

Susui bayi anda dengan kedudukan yang selesa samada duduk atau berbaring. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau belakang jika perlu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masalah seperti sakit puting atau kurang susu.

Jika anda menghadapi masalah, kami syorkan anda mendapat bantuan dari mereka yang mahir.

Petua Penyusuan Yang Berjaya

Amalan positif:

  • Persediaan mental sebelum kelahiran adalah penting. Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan susu ibu semasa hamil.
  • Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda.
  • Susui bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi.
  • Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang baik dan selesa supaya tidak terasa lenguh dan mengelakkan masalah seperti sakit puting.
  • Makan makanan yang seimbang dan minum air yang mencukupi.
  • Perlu diingatkan bahawa bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Lagi kerap bayi menyusu, semakin banyak susu akan dihasilkan.

Amalan negatif:

  • Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Jika anda berupaya melahirkan seorang bayi ke dunia ini, anda sudah pasti mampu memberikannya susu yang terbaik.
  • Jangan berikan bayi anda susu botol tambahan atau air masak. Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kecuali susu ibu sehingga berusia 4 hingga 6 bulan.
  • Cara menghisap puting botol dan puting payudara adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan ibu tidak akan berjaya untuk menyusukan bayi.
  • Jangan menyusu dalam keadaan terburu-buru. Masa 6 minggu pertama adalah masa 'latihan' untuk ibu dan bayi. Ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masalah.
  • Jangan risaukan kekerapan bayi membuang air besar . Ini merupakan perkara biasa bagi bayi yang diberi susu ibu. Najis biasanya cair sedikit dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga perkara biasa.

Sumber: http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/wanita/wanitamenyusu.asp

Tips penyusuan

Susu ibu adalah perkara paling penting dalam pembesaran bayi. Tiada susu formula yang menyamai susu ibu. Ia penuh khasiat dan kebaikan buat sikecil. Setiap ibu digalakkan untuk memberi susu mereka sebagai minuman penuh pada bayi mereka. Kita juga digalakkan untuk memberi penyusuan eksklusif buat simanja. Apakah dia penyusuan eksklusif? Penyusuan eksklusif adalah menyusukan (susu badan) sikecil sepenuhnya sepanjang 6 bulan pertama tanpa ditambah ataupun dicampur dengan yang lain. Selepas 6 bulan barulah boleh dicampur dengan makanan tambahan. Dan teruskan menyusu anak anda sehingga dia berumur 2 thn. Banyak yang perlu dijaga oleh ibu ketika tempoh penyusuan.

Makanan;
Ibu hendaklah memakan makanan yang berkhasiat.
- tidak dibenarkan memakan kekacang atau makanan yang dikatakan boleh membuatkan kita 'angin'. Bimbang bayi akan kembung perut. (makanan sejuk jauhkan).

Minum;
Banyakkan meminum air suam. Jangan minum minuman yang sejuk atau berais. Ia boleh menyebabkan susu cepat kering / kurang.

Pada awal penyusuan, sememangnya susu masih belum keluar. But dont give up... Keep on brestfeed your baby. Susu akan keluar juga. Yang penting kita perlu sabar.

Berurut;
Anda boleh berurut untuk membantu mempercepatkan pengeluaran susu.

Tuam;
Tuam dengan tuala panas. Tuam setiap kali selepas mandi. (mandi dengan air panas). Ia juga dapat membantu membanyakkan susu.

Cuci;
Cuci puting anda dengan tuala suam. Ia bagi mencegah masalah puting tersumbat dan menghalang susu daripada keluar. Ada juga yang mencuci dengan berus. Jika risau luka, cukup sekadar menggunakan tuala sahaja. Seleok-eloknya, mencuci puting ini dilakukan ketika masih mengandung.

Tarik;
Selalu tarik puting anda bagi mencegah dari masalah puting tenggelam (flat or inverted nipples). Lakukan setiap kali anda mandi. Ramai wanita mengalami masalah ini. Jangan sedih kerana anda masih boleh menyusukan bayi anda.

Berdoa;
Sentiasa berdoa semoga susu anda sentiasa ada untuk anda menyusukan bayi. Dan mohon bantuannya sepanjang menempuh cabaran tempoh masa penyusuan ini.

Monday, January 19, 2009

Pakar Pediatrik

Perlu bagi kita (ibu bapa) mendapatkan pediatrik untuk anak kita. Ia bagi memudahkan kita untuk membuat rujukan sekiranya anak kita mempunyai sebarang masalah kesihatan. Ia telah berlaku keada ku. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan, cukup sekadar merujuk kepada klinik kesihatan bahagian ibu dan anak. Tetapi pastikan anak kita mendapat rawatan yang sewajarnya.

Dan bagi mereka yang mampu, apa salahnya jika kita rujuk anak kita kepada pakar pediatrik. Pilih pidiatrik yang bagus. Yang mampu menerangkan serta merekodkan perkembagan dan tahap kesihatan anak kita.

Seperti apa yang telah berlaku keatas anakku. Aku serik dengan apa yang berlaku (lihat entri sebelum ini). Kini aku bertukar pediatrik. Alhamdulillah aku berpuas hati dengan pakar pediatrik Afnan Mujahid sekarang. Dia ramah dengan aku dan dia mengendalikan Mujahid dengan baik. Penerangannya juga jelas. Dia merekod setiap yang perlu di dalam buku rekod kesihatan Mujahid.

Klinik yang menjadi rujukan kami sekarang:

Klinik Pakar Kanak-Kanak Shanaliza
70, Jln 1/2F, Pusat Bandar Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur
Tel: 03-41496660 Fax: 03-41496661


Duit boleh dicari. Anak sapa nak ganti?....

Kahak

Sejak Afnan Mujahid lahir nafasnya bunyi seolah-olah tersekat. Bunyinya seperti orang yang selsema. Dan terasa seolah ada sesuatu yang tersekat di tekak. Aku utarakan masalah tersebut kepada jururawat desa yang selalu datang melawat aku dan baby ketika aku berpantang di kampung. Malangnya dia tidak memberi sebarang respon pada soalan aku. Apa yang dia katakan hanyalah "Kalau baby selsema memang tiada ubat. Awak sapu Vits je pada hidung dan dada dia".

Pada bulan December yang lalu, kami telah pulang ke Bagan Serai, Perak (kampung suami). Semasa disana kami pergi ke klinik pakar kanak-kanak (Klinik Ho Pakar Kanak-Kanak, Parit Buntar, Perak). Aku amat terkejut apabila diberitahu oleh dr. Ho yang kesihatan Afnan Mujahid tidak memuaskan dan perlu dimasukkan ke wad dengan segera! Menurutnya, kahaknya sudah terlalu banyak dan ini membahayakan paru-parunya. Kami mohon jasa baik Dr. Ho untuk tidak merujuk kes kami ke hospital kesihatan. Aku tidak mahu anakku ditahan diwad. Umur anakku ketika itu belum pun lagi 2 bulan.

Dr menyarankan sejenis rawatan (sedut gas). Kami bersetuju. Dan gas tersebut perlu diambil oleh Afnan Mujahid sebanyak 2 kali sehari. Iaitu diwaktu pagi dan malam. Sepanjang tempoh kami berada di perak, kami terpaksa berulang alik dari Bagan Serai ke Parit Buntar setiap pagi dan malam untuk mendapatkan rawatan bagi anakku.

Kesan daripada gas tersebut, anakku akan muntah bagi mengeluarkan kahaknya. Dan ia juga mungkin keluar bersama-sama najisnya. Najis akan kelihatan melekit dan berlendir. Alhamdulillah, setelah beberapa kali kami berulang alik, Afnan Mujahid menunjukkan riaksi yang positif. Nafasnya juga sudah tidak berbunyi. keadaannya beransur pulih. Kami juga dibekalkan dengan ubat-ubatan (kahak, batuk & antibiotik).

Bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan Parit Buntar, perak. Aku amat menyarankan agar mendapatkan rawatan bagi sikecil anda di Klinik Dr. Ho. Semasa diklinik tersebut, sempat aku berbual-bual dengan ibu kanak-kanak yang lain. Mereka datang dari pelbagai tempat. Ada yang dari kedah dan yang selalu terserempak dengan kami semasa mendapatkan rawatan datang dari Bukit Merah. Layanan serta perkhidmatan yang diberikan sangat memuaskan hati.


Setelah apa yang berlaku, aku amat tidak berpuas hati dengan Klinik Kesihatan dan sebuah klinik swasta yang menjadi rujukan aku dan suami untuk Afnan Mujahid.

Tanda - tanda aku ...

Aku pernah tertanya-tanya dan bertanya kepada rakan-rakan, apakah tanda-tanda untuk bersalin. Bagaimana kita akan tahu bahawa itu adalah tanda bersalin? Semuanya sukar untuk memberikan jawapan kepada ku. Berikut adalah tanda-tanda yang terdapat padaku apabila hampir pada hari aku bersalin:

  1. Sakit pinggang - Aku rasakan sejak minggu ke-36 aku mengandung. Semakin hampir untuk bersalin semakin kerap ia sakit. Aku bersalin pada kandungan berusia 38 minggu 2 hari
  2. Lendir - Terdapat lendir yang keluar. Ia keluar bersama-sama keputihan. Dan keputihan juga keluar dalam kuantiti yang banyak dar kebiasaan. Ia berlaku pada kandunganku berusia 37 minggu. Lendir semakin kerap dan banyak keluar pada hujung kehamilanku. Ia kekadang berketul-ketul. Pada awal pagi hari kelahiran (baca saat kelahiran dalam entriku) ia berketul dan banyak. Tetapi ia keluar tanpa darah.
  3. Sengal pinggang - Sengal dan lenguh-lenguh di sekitar kawasan pinggang berlaku hampir dengan waktu kelahiran bayiku. Ia adalah lenguh yang amat sangat dan rasanya lain dari hari yang lain. (rujuk entri saat kelahiran)
  4. Ketuban pecah - ini berlaku apabila aku sudah hampir bersalin. Keluar air dari jalan tersebut tanpa dapat ditahan.
  5. Kontraksi rahim - Ia berlaku serentak ketika air ketubanku pecah.

Tanda-tanda kelahiran bagi setiap wanita berbeza-beza. Mungkin ada yang berasa kontraksi dulu kemudian diikuti dengan tanda-tanda lain. Tetapi ia boleh dijadikan panduan dan rujukan.

Ketahuilah, bahawa naluri kita sendiri akan memberitahu kita bilakah kita akan melahirkan. Percaya pada naluri kita :-)

TANDA-TANDA BERSALIN


Sekarang anda sudah hamil dan anda mungkin sudah bersedia untuk mengadapi hari kelahiran bayi anda. Proses kelahiran boleh memberikan keriangan dan juga ketakutan bagi mereka yang hamil. Anda rasa tidak sabar untuk melihat bayi anda dan dalam masa yang sama merasa takut terhadap kesakitan dan komplikasi yang mungkin berlaku semasa proses bersalin.
Ramai wanita merasa bimbang yang mungkin mereka tidak dapat mengenali tanda-tanda hendak bersalin sekiranya ia terjadi. Adalah penting untuk anda mempelajari tanda tanda awal bersalin supaya anda boleh membuat persediaan yang optimal untuk mengahdapi kelahiran.

serviks

BERSEDIA UNTUK KELAHIRAN

Sebelum kandungan anda semakin berusia, adalah cukup bagus untuk anda mengetahui peringkat-peringkat kelahiran. Sekiranya anda ingin melahirkan dihospital, cuba buat ‘tour’ disekitar bilik bersalin anda.
Ini adalah tip mudah untuk anda menyiapkan diri untuk kelahiran anda:
• menghadiri kelas antenatal
• Berbincang dengan kawan yang pernah melahirkan
• Tonton video kelahiran
• Amalkan pernafasan and relaksasi.
Tanda bersalin sebenar Vs Tanda bersalin tidak benar
Sekiranya anda merasa keliru yang mana satu tanda kelahiran benar atau tidak, anda bukannya berseorangan. Memang ramai yang tidak begitu pasti tentang tanda awal bersalin. Ramai yang mengadu mengalami tanda seperti mahu bersalin tetapi tidak tahu samada masa sudah benar-benar tiba atau cuma mengalami masalah sakit perut biasa sahaja. Sekiranya merasa ragu, jumpa saja dengan doktor, tak perlu rasa malu sekiranya ia terbukti bukan masanya lagi. Yang penting, jangan tidak mengendahkan tanda-tanda tersebut.

KONTRAKSI RAHIM

Kontraksi adalah tanda awal dan isyarat yang paling penting yang menunjukkan anda sudah sampai masa untuk bersalin. sekiranya kontraksi sudah ada, cuba perhatikan masa, tempoh dan berapa minit jarak diantaranya. Kontraksi yang sebenar berlaku secara teratur dan pada jarak yang konsisten. sekiranya ia berlaku setiap 5 min secara teratur dan semakin kerap, pergilah berjumpa dengan doktor untuk mendapat kepastian.
Kontraksi biasa atau Braxton Hicks contraction agak berbeza, ia kurang menyakitkan dan tidak teratur dan akan hilang dengan sendirinya tidak lama kemudiannya.

Sakit Belakang

Sakit belakang sering menjadi masalah utama wanita hamil, tetapi ia juga mungkin satu tanda kelahiran. Sakit ini akan semakin kerap dan kuat dan rasa lebih teruk pada bahagian bawah belakang.

Pecah ketuban

Dalam cerita drama atau filem,wanita selalunya sedar yang mereka bakal melahirkan apabila ketuban mereka pecah. Tapi ia bukan realiti sebenar. Kebanyakkan wanita langsung tidak mengalami pecah ketuban sehinggalah disaat-saat akhir proses bersalin. Yang kerapnya, doktor yang akan memecahkan ketuban anda untuk mempercepatkan proses bersalin.
Pecah ketuban berlaku pada segelintir wanita hamil sahaja dan sekiranya anda mensyakki yang ketuban sudah pecah, jumpalah dengan doktor dengan segera.

Bloody Show

Disaat awal anda bakal melahirkan, selalunya terdapat lendir pekat bercampur darah keluar dari faraj. Ini adalah pluk mukus yang menghadang sebarang kemasukkan asing kedalam cerviks. Ia juga menghalang sebarang kuman dari merebak kepada bayi. sekarang pluk ini sudah tiada dan bayi sudah boleh bergerak kebawah dengan perlahan-lahan.

Serviks terbuka

Sebaik sahaja kontraksi berlaku, pangkal rahim anda akan menjadi lebih lembut dan lebih nipis. Walaubagaimanapun, cuma doktor sahaja yang boleh mengetahui perubahan ini semsa pemeriksaan faraj.


Sumber dari Alam Hamil

Sewaktu Berpantang

Waktu berpantang ku amat mencabar. Apa tidaknya, aku berpantang sewaktu orang lain seronok menyambut hari raya. Meriah dengan pakaian dan makanan. Nasib baik selepas sahaja aku bersalin, keesokan harinya suami membelikan aku baju raya. Warna sedondon dengan baju melayunya (terima kasih abang).

Waktu berpantang adalah waktu yang amat mencabar bagi aku. Kerap kali aku ulangi kata-kata ku kepada adik-adik ku, "Alah sewaktu mengandung orang cerita. Sakit nak bersalin pun orang ada cerita. So kak ngah dah sedia untuk hadapi semua tu. Tapi......... sakitnya sesudah bersalin dan sewaktu berpantang orang tak cerita. Kak ngah tak tau.. so lepas ni, kalau orang tanya, kak ngah akan cerita sakit sesudah bersalin dan cabaran semasa berpantang. Biar orang tahu dan bersedia!" "Ish tak baik awak ni kak ngah. Takutkan orang" balas adik ku. "Kak ngah bukan nak takutkan orang. Tapi kak ngah nak bagi diorang bersedia dari segi fizikal dan emosi. Jangan terkejut dengan situasi" Tegas aku.

Sesungguhnya benar aku tak bersedia untuk berhadapan dengan sakit sesudah bersalin. Selesai aku melahirkan anakku. Aku ditolak kekatil untuk berehat. Dan anak diletakkan disebelahku. Aku disuruh menyusukan anak. Aku masih belum mempunyai susu ketika itu (aku akan ceritakan berkenaan meyusukan dalam entri yang lain). Tidak berapa lama aku berehat diatas katil, aku merasakan sakit dibahagian perutku. Sakit sangat sehinggakan menyukarkan aku untuk bernafas. Datang seorang jururawat kearah aku apabila dia melihat aku seolah-olah menahan sakit. Aku katakan yang aku sedang sakit. Dia ada menyebut nama atau jenis sakit yang sedang aku alami... aku tak ingat apakah jenis sakit tersebut kerana aku tidak begitu fokus padanya ketika itu. Kemudian dia beredar dan datang semula kepadaku dengan membawa ubat penahan sakit. Sakitnya seolah-olah contraction untuk bersalin. Alhamdulillah keesokan harinya sakit tersebut hilang.

Pada kebiasaannya, selepas bersalin kita akan berurut. Malang bagi aku kerana waktu itu adalah waktu untuk membuat persiapan hari raya. Jadi, tiada sesiapa yang sanggup untuk datang mengurut ku. Ditambah pula dengan hari raya dan hari kenduri kendara untuk majlis perkahwinan. Hanya setelah hampir 2 minggu aku bersalin barulah aku dapat berurut.

Sepanjang tempoh itu, aku menderita kesakitan. Seluruh tubuhku sakit. Sampai satu tahap, aku tidak dapat menggerakkan langsung tubuh aku. Aku seolah-olah lumpuh. Segala pergerakanku memerlukan bantuan. Untuk bangun dari berbaring pun perlu dibantu. Bukan sekadar menarik tangan, tetapi mereka (suami atau adik beradikku) terpaksa memaut tubuhku. Untuk kebilik air pun aku perlu dipapah. Aku dimandikan, dipakaikan. Segala-galanya atas bantuan orang. Aku benar-benar sedih.

Membuang air besar adalah satu perkara yang amat menakutkan aku sepanjang dalam tempoh berpantang. Aku sembelit. Setiap kali selepas membuang air besar, pasti aku akan sakit yang teramat sangat dan aku tidak mampu untuk duduk. Jururawat kata yang aku buasir. Keadaan ini membuatkan aku takut untuk makan. Hampir seminggu aku tidak menyentuh makanan kerana takut untuk membuang air. Seluruh keluarga aku risau. Mereka memujuk aku dengan pelbagai cara agar aku makan. Aku sekadar minum air sahaja. Pernah satu ketika, apabila sakitnya sudah tidak dapat ditanggung, aku menangis samahu-mahunya. Aku menangis sehingga teresak-esak. Puas ibuku memujukku. Dia risau, katanya tidak elok bagi mereka yang masih didalam pantang menangis. Ibu ku risau akan datang pula sakit lain (meroyan). Sakit yang paling ditakuti ketika baru melahirkan. Waktu itu suamiku tiada disisi (pulang bekerja). Emosi aku mudah sahaja terganggu dalam tempoh ini. Aku mudah tersentuh.

Ketahuilah bagi suami-suami yang isterinya baru sahaja melahirkan anak, jagalah emosi isteri sebaik mungkin. Waktu ini hati-hati isteri mudah terusik dan tidak stabil. Semuanya kerana perubahan yang berlaku atas dirinya dan tanggungjawab yang datang sejurus sahaja dia melahirkan anaknya. Sama-samalah membantu isteri melalui saat-saat yang sukar ini.

Terima kasih atas suamiku yang banyak membantu aku dalam tempoh ini. Sokongan mu amat-amat aku hargai. Bantuan mu dan sokongan mu amat-amat aku sanjungi. Terima kasih abang...

Friday, January 16, 2009

Saat Kelahiran

Aku ceritakan kembali saat-saat aku melahirkan bayi ku Afnan Mujahid. Hari itu 28hb September bersamaan 28 Ramadhan. Aku sudah berada di kampung. Bercuti untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri. Pagi itu aku masih berasa segar. Tiada terasa sebarang contraction. Cuma sewaktu bersahur, aku merasakan seolah-olah ada air yang keluar. Bergegas aku ketandas untuk memastikannya. Semua yang sedang bersahur menjadi risau apabila melihat aku bangun dengan tergesa-gesa. Selepas aku keluar dari bilik air, aku berkata sambil tersenyum "Tak de apa-apa. Ingatkan ada air yang keluar tadi". Suami ku dah mula risau. Dia suruh aku memastikannya dengan betul. Yang keluar hanya lendir. Tetapi dalam kadar yang agak banyak. Hari itu aku masih berpuasa seperti biasa. Dan untuk menu berbuka aku dan adik beradik ku meminta ayah untuk masakkan sup tulang dan mee goreng.

Hari itu berjalan seperti biasa. Tengah hari itu adik beradikku keluar membeli belah bersama keluarga bapa saudara kami. Aku tidak dibenarkan untuk ikut bersama. Aku tak kisah, tambahan pula aku sememangnya tidak larat untuk berjalan dan berdiri dalam kadar yang lama. Lebih kurang pukul 2 petang mereka pulang. Ketika itu aku sedang tidur kerana terasa sakit belakang. Kemudian aku bangun dan turut sama membelek barang yang mereka beli. Seronoknya dapat bershopping raya. Tahun itu aku tidak mempunyai baju raya. Kerana aku tidak tahu bila saat aku akan melahirkan anakku ini. Jika mengikut due date, 10 oktober 2008. Ntahlah.

Ketika berbual-bual, belakang ku terasa sengal-sengal dan lenguh. Aku sekadar diam sahaja. Kemudian aku masuk kebilik untuk bersolat. Sebelum itu sempat aku berguarau dengan kakak ku "Cepat long solat, kak ngah nak solat pulak ni. Kang takut tak sempat solat". Selesai solat aku minta suami ku mengurut belakang ku. Belakang ku terasa lenguh sangat.

Sambil aku baring mengiring, suami ku mengurut belakangku. Jam menunjukkan lebih kurang pukul 4.30 ptg. ketika itu adik beradikku yang lain sedang sibuk untuk membuat persiapan berbuka. Sedang aku berbaring, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil 'pop' dari perutku dan serentak dengan itu aku terasa kandunganku jatuh dan air ketuban memancut keluar. Aku terus memegang perutu sambil mengerang kesakitan. Suamiku bergegas mengambil air selusuh untuk memberi aku minum. Sambil itu dia menjerit kepada adikku "cepat! kita bawak k.ngah ke hospital. Kak ngah dah nak bersalin!". Kemudian kedengaran pula kakak ku menjerit "Telefon ambulan cepat!!". Keadaan ketika itu benar-benar cemas. Tambahan pula ini adalah pengalaman pertama keluarga kami untuk menerima keliharan bayi (ini adalah cucu sulung dalam keluargaku).

Tidak lama kemudian, ambulans sampai dan 2 orang jururawat masuk kebilik. Menurut jururawat tersebut bukaan ku baru 5cm. Masih ada 5 jam! (1cm = 1 jam). Jadi bagi mereka tak perlu bergegas. Tetapi sakit yang aku rasakan tidak dapat tertahan. Aku dibawa menaiki ambulan dan terus dibawa ke bilik bersalin. Ketika didalam bilik bersalin, mereka menukar pakaianku dan memasang sejenis alat diperutku untuk mengesan denyutan jantung bayi. Dan mereka memberikan aku segelas milo bagi membekalkan aku tenaga untuk tujuan meneran. Sakit yang aku rasa semakin teruk. Tidak tertahan rasanya. Seluruh tubuhku menjadi ketar. Aku diminta untuk mengiring bagi mempercepatkan proses kelahiran.

Tidak lama kemudian, datang jururawat untuk memeriksa bukaan ku. dan aku katakan padanya yang aku sudah terasa untuk meneran. Dia nampak terkejut kerana bukaan ku sudah 9cm. Terus dia meminta untuk memanggil suamiku masuk. Hampir 20 minit aku meneran tetapi tidak berjaya. Aku sudah tidak bertenaga (tiada makanan yang dapat memberi aku tenaga kerana aku berpuasa). Jururawat meminta untuk aku terus meneran kerana ketika itu bayi ku sudah tidak bergerak. Jauh disudut hati, aku berdoa kepada Allah supaya memberi aku kekuatan. Dan aku yakin Allah akan membantu ku. Bagi cubaan yang terakhir, aku meneran dengan sekuat hati ku dan seorang jururawat membantu ku dengan menolak perut ku dari atas. Tepat jam 6.24, keluarlah bayi lelaki dengan berat 2.65 kilo. Keluarnya disambut tangisan dan syukur Alhamdulillah. Kemudian suamiku terus mengucup dahi ku... Mengalir airmata ku. saat ini aku telah bergelar ibu. Terima kasih ya Allah.

Sepanjang proses kelahiran, tiada putus zikirku dan doaku pada Allah... Alhamdulillah Allah permudahkan aku. Proses kelahiran bayi ku hanya mengambil masa 2 jam. Bermula sakit pada pukul 4.30 dan aku melahirkan pada pukul 6.24. Terima kasih Ya Allah. Mungkin berkat ramadhan dan doa yang dipanjatkan.

P/s: Doa selusuh amat berguna untuk dibaca berulang kali ketika proses kelahiran.

Wednesday, January 7, 2009

Nasib....

Setiap yang bergelar insan
mempunyai coretan hidup yang tersendiri
Semuanya telah ditentukan..
Berlaku tanpa dijangka
Menerima tanpa diduga
Tersembunyi dari pengetahuan
Itulah ketentuan Tuhan.

Ada yang indah diawalan
Mendung di pertengahan
Kembali ceria di penghujung jalan

Ada yang sepanjang jalannya derita
Dipenuhi onak dan duka....
remuk hati tidak terkata

Perjalanan kita mungkin masih jauh
Atau mungkin juga sudah hampir ke hujungnya
Segalanya terselindung dari pengetahuan kita

Di kala ini..........
Tidak dijangka hidup akan jadi begini
Tidak disangka nasib akan begini
Pelbagai warna dan garis
Coretannya berkajang
Ada suka ada duka

Ya Allah... Benarlah hidup tidak boleh diduga....
Tapi yang pasti...
Lukisan hari ini
Penentu hari esok...

Ya Allah.... ampunkan dosa-dosa ku yang lalu. Engkau indahkanlah hidup ku.... Semoga ceria dipenghujung ku...
Afnan Mujahid ketika berusia kurang dari seminggu....






Ya Allah ya tuhanku... bantulah aku dalam mendidik anakku ini.....

Tahun Baru

Alhamdulillah... diri masih diberi peluang untuk bernafas dibumi ini bagi melangkah ke tahun yang baru. Tahun baru, tapi orangnya masih lama dan semakin bertambah usia ;-) Baru hari ini diberi kesempatan untuk mencoret kembali diblog ini. Rindu rasanya.

Sekarang sudah bertambah ahli baru. Afnan Mujahid B Mohd Khairul Azmi. Permata hatiku. Semoga diberi Allah rezeki agar dia benar-benar menjadi pejuang agama.... Sekarang aku telah bergelar Ummi... UMMI MUJAHID...

Mengharungi hidup sebagai seorang ummi benar-benar mencabar. Menguji setiap penjuru rasa dan emosi. Berpadananlah mengapa Allah mengangkat darjat wanita yang bergelar ibu. Alhamdulillah dapat aku merasa menjadi ibu didunia ini. Terima kasih ya Allah atas anugerah yang engkau berikan...........

Tabahkan hatiku... rahmati diriku...