Pages

Friday, January 16, 2009

Saat Kelahiran

Aku ceritakan kembali saat-saat aku melahirkan bayi ku Afnan Mujahid. Hari itu 28hb September bersamaan 28 Ramadhan. Aku sudah berada di kampung. Bercuti untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri. Pagi itu aku masih berasa segar. Tiada terasa sebarang contraction. Cuma sewaktu bersahur, aku merasakan seolah-olah ada air yang keluar. Bergegas aku ketandas untuk memastikannya. Semua yang sedang bersahur menjadi risau apabila melihat aku bangun dengan tergesa-gesa. Selepas aku keluar dari bilik air, aku berkata sambil tersenyum "Tak de apa-apa. Ingatkan ada air yang keluar tadi". Suami ku dah mula risau. Dia suruh aku memastikannya dengan betul. Yang keluar hanya lendir. Tetapi dalam kadar yang agak banyak. Hari itu aku masih berpuasa seperti biasa. Dan untuk menu berbuka aku dan adik beradik ku meminta ayah untuk masakkan sup tulang dan mee goreng.

Hari itu berjalan seperti biasa. Tengah hari itu adik beradikku keluar membeli belah bersama keluarga bapa saudara kami. Aku tidak dibenarkan untuk ikut bersama. Aku tak kisah, tambahan pula aku sememangnya tidak larat untuk berjalan dan berdiri dalam kadar yang lama. Lebih kurang pukul 2 petang mereka pulang. Ketika itu aku sedang tidur kerana terasa sakit belakang. Kemudian aku bangun dan turut sama membelek barang yang mereka beli. Seronoknya dapat bershopping raya. Tahun itu aku tidak mempunyai baju raya. Kerana aku tidak tahu bila saat aku akan melahirkan anakku ini. Jika mengikut due date, 10 oktober 2008. Ntahlah.

Ketika berbual-bual, belakang ku terasa sengal-sengal dan lenguh. Aku sekadar diam sahaja. Kemudian aku masuk kebilik untuk bersolat. Sebelum itu sempat aku berguarau dengan kakak ku "Cepat long solat, kak ngah nak solat pulak ni. Kang takut tak sempat solat". Selesai solat aku minta suami ku mengurut belakang ku. Belakang ku terasa lenguh sangat.

Sambil aku baring mengiring, suami ku mengurut belakangku. Jam menunjukkan lebih kurang pukul 4.30 ptg. ketika itu adik beradikku yang lain sedang sibuk untuk membuat persiapan berbuka. Sedang aku berbaring, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil 'pop' dari perutku dan serentak dengan itu aku terasa kandunganku jatuh dan air ketuban memancut keluar. Aku terus memegang perutu sambil mengerang kesakitan. Suamiku bergegas mengambil air selusuh untuk memberi aku minum. Sambil itu dia menjerit kepada adikku "cepat! kita bawak k.ngah ke hospital. Kak ngah dah nak bersalin!". Kemudian kedengaran pula kakak ku menjerit "Telefon ambulan cepat!!". Keadaan ketika itu benar-benar cemas. Tambahan pula ini adalah pengalaman pertama keluarga kami untuk menerima keliharan bayi (ini adalah cucu sulung dalam keluargaku).

Tidak lama kemudian, ambulans sampai dan 2 orang jururawat masuk kebilik. Menurut jururawat tersebut bukaan ku baru 5cm. Masih ada 5 jam! (1cm = 1 jam). Jadi bagi mereka tak perlu bergegas. Tetapi sakit yang aku rasakan tidak dapat tertahan. Aku dibawa menaiki ambulan dan terus dibawa ke bilik bersalin. Ketika didalam bilik bersalin, mereka menukar pakaianku dan memasang sejenis alat diperutku untuk mengesan denyutan jantung bayi. Dan mereka memberikan aku segelas milo bagi membekalkan aku tenaga untuk tujuan meneran. Sakit yang aku rasa semakin teruk. Tidak tertahan rasanya. Seluruh tubuhku menjadi ketar. Aku diminta untuk mengiring bagi mempercepatkan proses kelahiran.

Tidak lama kemudian, datang jururawat untuk memeriksa bukaan ku. dan aku katakan padanya yang aku sudah terasa untuk meneran. Dia nampak terkejut kerana bukaan ku sudah 9cm. Terus dia meminta untuk memanggil suamiku masuk. Hampir 20 minit aku meneran tetapi tidak berjaya. Aku sudah tidak bertenaga (tiada makanan yang dapat memberi aku tenaga kerana aku berpuasa). Jururawat meminta untuk aku terus meneran kerana ketika itu bayi ku sudah tidak bergerak. Jauh disudut hati, aku berdoa kepada Allah supaya memberi aku kekuatan. Dan aku yakin Allah akan membantu ku. Bagi cubaan yang terakhir, aku meneran dengan sekuat hati ku dan seorang jururawat membantu ku dengan menolak perut ku dari atas. Tepat jam 6.24, keluarlah bayi lelaki dengan berat 2.65 kilo. Keluarnya disambut tangisan dan syukur Alhamdulillah. Kemudian suamiku terus mengucup dahi ku... Mengalir airmata ku. saat ini aku telah bergelar ibu. Terima kasih ya Allah.

Sepanjang proses kelahiran, tiada putus zikirku dan doaku pada Allah... Alhamdulillah Allah permudahkan aku. Proses kelahiran bayi ku hanya mengambil masa 2 jam. Bermula sakit pada pukul 4.30 dan aku melahirkan pada pukul 6.24. Terima kasih Ya Allah. Mungkin berkat ramadhan dan doa yang dipanjatkan.

P/s: Doa selusuh amat berguna untuk dibaca berulang kali ketika proses kelahiran.

2 comments:

cintaKusayangMu said...

salam..terasa syahdu bila baca entry awak....xsabar jdnye saya tgu kelahiran ank sulung kami ni..tq sudi berkongsi pengalaman...

CERITAKUASN said...

:-) Alhamdulillah sekarang Afnan Mujahid dah 3 bulan. InsyaAllah saya akan keep update this blog serta ceritakan perkembangan dia. Diharap ia dapat menjadi panduan untuk bakal-bakal ibu.