Pages

Monday, January 19, 2009

Sewaktu Berpantang

Waktu berpantang ku amat mencabar. Apa tidaknya, aku berpantang sewaktu orang lain seronok menyambut hari raya. Meriah dengan pakaian dan makanan. Nasib baik selepas sahaja aku bersalin, keesokan harinya suami membelikan aku baju raya. Warna sedondon dengan baju melayunya (terima kasih abang).

Waktu berpantang adalah waktu yang amat mencabar bagi aku. Kerap kali aku ulangi kata-kata ku kepada adik-adik ku, "Alah sewaktu mengandung orang cerita. Sakit nak bersalin pun orang ada cerita. So kak ngah dah sedia untuk hadapi semua tu. Tapi......... sakitnya sesudah bersalin dan sewaktu berpantang orang tak cerita. Kak ngah tak tau.. so lepas ni, kalau orang tanya, kak ngah akan cerita sakit sesudah bersalin dan cabaran semasa berpantang. Biar orang tahu dan bersedia!" "Ish tak baik awak ni kak ngah. Takutkan orang" balas adik ku. "Kak ngah bukan nak takutkan orang. Tapi kak ngah nak bagi diorang bersedia dari segi fizikal dan emosi. Jangan terkejut dengan situasi" Tegas aku.

Sesungguhnya benar aku tak bersedia untuk berhadapan dengan sakit sesudah bersalin. Selesai aku melahirkan anakku. Aku ditolak kekatil untuk berehat. Dan anak diletakkan disebelahku. Aku disuruh menyusukan anak. Aku masih belum mempunyai susu ketika itu (aku akan ceritakan berkenaan meyusukan dalam entri yang lain). Tidak berapa lama aku berehat diatas katil, aku merasakan sakit dibahagian perutku. Sakit sangat sehinggakan menyukarkan aku untuk bernafas. Datang seorang jururawat kearah aku apabila dia melihat aku seolah-olah menahan sakit. Aku katakan yang aku sedang sakit. Dia ada menyebut nama atau jenis sakit yang sedang aku alami... aku tak ingat apakah jenis sakit tersebut kerana aku tidak begitu fokus padanya ketika itu. Kemudian dia beredar dan datang semula kepadaku dengan membawa ubat penahan sakit. Sakitnya seolah-olah contraction untuk bersalin. Alhamdulillah keesokan harinya sakit tersebut hilang.

Pada kebiasaannya, selepas bersalin kita akan berurut. Malang bagi aku kerana waktu itu adalah waktu untuk membuat persiapan hari raya. Jadi, tiada sesiapa yang sanggup untuk datang mengurut ku. Ditambah pula dengan hari raya dan hari kenduri kendara untuk majlis perkahwinan. Hanya setelah hampir 2 minggu aku bersalin barulah aku dapat berurut.

Sepanjang tempoh itu, aku menderita kesakitan. Seluruh tubuhku sakit. Sampai satu tahap, aku tidak dapat menggerakkan langsung tubuh aku. Aku seolah-olah lumpuh. Segala pergerakanku memerlukan bantuan. Untuk bangun dari berbaring pun perlu dibantu. Bukan sekadar menarik tangan, tetapi mereka (suami atau adik beradikku) terpaksa memaut tubuhku. Untuk kebilik air pun aku perlu dipapah. Aku dimandikan, dipakaikan. Segala-galanya atas bantuan orang. Aku benar-benar sedih.

Membuang air besar adalah satu perkara yang amat menakutkan aku sepanjang dalam tempoh berpantang. Aku sembelit. Setiap kali selepas membuang air besar, pasti aku akan sakit yang teramat sangat dan aku tidak mampu untuk duduk. Jururawat kata yang aku buasir. Keadaan ini membuatkan aku takut untuk makan. Hampir seminggu aku tidak menyentuh makanan kerana takut untuk membuang air. Seluruh keluarga aku risau. Mereka memujuk aku dengan pelbagai cara agar aku makan. Aku sekadar minum air sahaja. Pernah satu ketika, apabila sakitnya sudah tidak dapat ditanggung, aku menangis samahu-mahunya. Aku menangis sehingga teresak-esak. Puas ibuku memujukku. Dia risau, katanya tidak elok bagi mereka yang masih didalam pantang menangis. Ibu ku risau akan datang pula sakit lain (meroyan). Sakit yang paling ditakuti ketika baru melahirkan. Waktu itu suamiku tiada disisi (pulang bekerja). Emosi aku mudah sahaja terganggu dalam tempoh ini. Aku mudah tersentuh.

Ketahuilah bagi suami-suami yang isterinya baru sahaja melahirkan anak, jagalah emosi isteri sebaik mungkin. Waktu ini hati-hati isteri mudah terusik dan tidak stabil. Semuanya kerana perubahan yang berlaku atas dirinya dan tanggungjawab yang datang sejurus sahaja dia melahirkan anaknya. Sama-samalah membantu isteri melalui saat-saat yang sukar ini.

Terima kasih atas suamiku yang banyak membantu aku dalam tempoh ini. Sokongan mu amat-amat aku hargai. Bantuan mu dan sokongan mu amat-amat aku sanjungi. Terima kasih abang...

No comments: